Rabu, 27 Jun 2012

KEADILAN mahu Murad terus terang, mohon maaf terbuka

Oleh Masdar Wahid


PETALING JAYA : KEADILAN mahu Murad Khalid bercakap benar berhubung dakwaannya terhadap Anwar Ibrahim memiliki master account RM3 bilion dan memohon maaf secara terbuka kepada Ketua Umum KEADILAN itu kerana membuat akuan bersumpah.

Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli menekankan, jika Murad gagal berbuat demikian, penyelewengan bekas Penolong Gabenor Bank Negara itu akan didedah satu persatu.

“Beliau perlu tampil ke hadapan memohon maaf secara umum kepada Anwar dan seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, di sini hari ini.

Turut serta, Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Kata Rafizi, dakwaan itu sebenarnya merujuk kepada pegangan dan kepentingan Murad sendiri.

“Dakwaan kononnya Anwar mempunyai banyak akaun saham dan hartanah mencecah RM3 bilion timbul dari akaun bersumpah Murad yang tidak memberi fakta dan senarai semua harta sebagaimana didakwanya.

“Sebaliknya, ia hanyalah dakwaan dengan menyebut beberapa nama yang kemudian dikait dengan Anwar,” jelas beliau.

Oleh kerana dakwaan itu tidak jelas dan gosip semata-mata, Rafizi mengambil inisiatif menyiasat latar belakang Murad.

“Siasatan saya mendapati semasa Murad menjadi Pegawai Tinggi Bank Negara seawal 1991, beliau menerima habuan dalam bentuk pembayaran kelab golf dan yuran bulanan dari pihak ketiga.

“Begitu juga insurans kediaman Murad berjumlah RM3.1 juta dibayar pihak ketiga dan jelas melanggar etika dan peraturan Bank Negara.

Murad juga katanya mendapat manfaat dari 15 unit kondominium di Pelangi Indah Condo melalui syarikat Kenworth Sendirian Berhad di mana beliau ada kepentingan.

“Jika rekod beliau sendiripun tercalar dengan dakwaan rasuah dan salahgunakuasa, timbul persoalan adakah beliau terlibat dalam pelbagai salah laku dan penyelewengan serta mengguna kedudukannya untuk mengumpul harta?

“Sehinggakan kelemahan ini dimanipulasi musuh Anwar untuk menekan beliau membuat akuan sumpah palsu,” soalnya lagi.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan Murad tampil memberi kenyataan berterus-terang atau penyalahgunaan kuasa dan dakwaan rasuah Murad didedah dari semasa ke semasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.