Mengapakah K-pop yang dibawa oleh artis Korea dengan mudah diterima sehingga ada yang fanatik sedangkan terdapat perbezaan bahasa?
PROF ABU HASSAN: Fenomena K-Pop ini bermula dengan dasar pembangunan “creative futures”. Ia disusun dan mempunyai strategi intelektual, praktikal dan pragmatik oleh Korea dengan bantuan dana yang berkesan kepada kalangan penggiat dan pengusaha kecil yang akhirnya menghasilkan satu genre baru dalam seni muzik, dengan bentuk dan kandungan baru jauh berbeza dengan seni muzik tradisi.
Akhirnya inovasi ini mencipta pasaran kerana ia adalah produk “creative futures” yang bergerak ke arah masa depan, bukan sekadar salinan kandungan yang terdapat dalam warisan.
Sebagai sesuatu yang baru dan luar biasa, tentu sekali K-Pop mencetuskan pasaran, dan pasaran ini akan berkembang di mana sahaja sebagaimana jenama telefon pintar dan tablet mencipta pasaran.
Justeru, salahkah untuk memuja mesin taip, atau joget? Tentulah tidak, tetapi inovasi ke atas warisan budaya seperti Dikir Barat yang dibentuk mengikut genre masa depan pasti mencipta pasaran seperti K-Pop.
Malangnya keupayaan ini terbatas di negara kita walaupun ada Dasar Industri Kreatif dan Dana Pembangunan Industri Kreatif kerana pengurusan yang tidak pragmatik dan tidak praktikal. Di Malaysia, syarikat besar, pengusaha yang sudah memiliki aset dan pasaran diutamakan sedangkan yang sepatutnya dibina ialah pasaran baru yang terhasil daripada kebangkitan penggiat kecil dengan reka cipta kreatif dan inovatif.
Inilah yang disebut “Creative Economy” atau “Economy of Attention” iaitu pengupayaan masyarakat yang bertaburan untuk terlibat mencipta dan memasarkan karya mereka seperti yang terjadi di Korea. Industri kreatif mengatasi perbezaan seperti bahasa, resam dan pakaian kerana kreatif adalah fesyen atau ragam penghidupan dan inovasi adalah “future”. Penggiat kecil yang bertaburan adalah sumber pembinaan pasaran, manakala pengusaha besar hanyalah pedagang yang tidak pernah membangunkan sesuatu kebangkitan baru ekonomi.
K-Pop adalah bukti, muncul daripada penggiat kecil yang bertebaran, dan dibantu secara dana dan strategi dan akhirnya, mencipta dan membina ekonomi. K-Pop adalah produk “creative futures” yang terhasil dari kesungguhan masyarakat Korea khususnya golongan muda untuk menyertai rekaan produk kreatif, dan kesan dari kegigihan, keterbukaan dan kecekapan pengurusan strategi ekonomi kreatif oleh institusi kewangan, jabatan kerajaan dan institusi pengajian tinggi Korea dalam menyokong aktiviti KPop. Akhirnya K-Pop adalah ekonomi Korea Selatan itu sendiri.
Adakah penerimaan kepada muzik K-Pop ini boleh dipanggil budaya baru apabila kehadirannya dikatakan seperti satu fenomena?
PROF ABU HASSAN: K-Pop bukan budaya baru tetapi adalah salah satu genre muzik yang dicetuskan dalam aktiviti seni dan kreativiti masyarakat Korea terutama generasi muda yang terdedah secara langsung dalam pertumbuhan ekonomi kreatif, lantas K-Pop dicipta dan dibina pasarannya oleh artis-artis K-Pop yang merupakan kumpulan anak-anak muda pragmatik, yang cuba mengembangkan perusahaan budaya ini dengan sokongan secara keseluruhan institusi masyarakat khususnya bank-bank dan jabatan kerajaan.
K-Pop sama sahaja dengan perayaan terhadap Elvis Presley, The Beatles, Abba, Michael Jackson, Madonna dan Justin Bieber iaitu industri budaya popular. K-Pop muncul daripada artis-artis muzik Korea Selatan akibat daripada fikiran dan strategi untuk membina pasaran, selain daripada pasaran klasik yang dikuasai oleh Hollywood, ataupun genre-genre seperti pop, rock, jazz dan sebagainya.
K-Pop menjadi fenomena kesan daripada K-Pop yang telah berjaya mencipta pasaran dari bentuk dan kandungan muziknya, sebagaimana Coca-Cola mencipta pasaran sejak sekian lama. K-Pop menjadi bukti bahawa industri kreatif jika diuruskan dengan pragmatik, praktikal dan profesional akan berupaya menjadi sektor penting kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Oleh itu, di Malaysia sendiri dijangka industri kreatif akan menjadi penyumbang KDNK ketiga terbesar menjelang 2015 sekiranya diuruskan sempurna, terutama kesedaran tinggi institusi kewangan untuk menyokong penggiat kecil yang menguasai 70 peratus sumbangan terhadap industri.
Jika boleh dipanggil budaya, adakah ia satu budaya yang mampu dikenang dan bertahan lama atau sekadar budaya bermusim?
PROF ABU HASSAN: K-Pop bukan budaya tetapi hanya genre muzik. Sebagai genre muzik, ia hanya suatu jenama atau “brand” yang dicipta dengan inovasi ke atas persembahan, pakaian, dan lain-lain walhal KPop masih dalam genre “pop”. Ini menunjukkan tidak timbul ia bermusim atau tidak kerana muziknya jelas adalah pop cuma persembahan sahaja yang berbeza daripada kelaziman.
Ledakan genre muzik K-Pop menunjukkan bagaimana luar biasanya bangsa Korea ini dalam menempatkan industri kreatif mereka di persada pasaran ekonomi industri budaya melalui penjelmaan, penjenamaan dan pemartabatan aktiviti “creative futures” sehingga akhirnya K-Pop bukan sahaja membawa genre muziknya sebagai genre utama dalam industri muzik dunia, di samping menempatkan segala budaya dan warisan Korea sebagai kandungan dalam kebudayaan dunia.
Inilah yang ditunjukkan oleh Samsung, Hyundai, Kia kerana mereka memahami bagaimana dengan membina kepakaran “creative futures” maka mereka akan membina dan menguasai pasaran ekonomi kreatif, iaitu sektor ekonomi terbesar dalam Kurun 21.
Malangnya, industri muzik kita pula semakin menjunam, bukan kerana kita tidak punya tenaga atau graviti untuk menjadi seperti Korea dengan K-Popnya, sebaliknya industri kita penuh dengan masalah pengurusan seperti bagaimana teruknya penggiat-penggiat seni, pengusaha industri kreatif dibantai dan ditibai oleh institusi kewangan, dan lebih malang penggiat dan pengusaha kreatif kecil dan sederhana sentiasa diherdik kerana tidak ada jaminan kewangan yang kuat untuk membolehkan pinjaman diluluskan, walhal pinjaman itu sendiri adalah peruntukan dalam Dana Industri Kreatif.
Misalnya, “syarikat ini kecil, sumber kewangan tak kukuh”, “jaminan tidak cukup”, dan segala macam. Lalu bagaimana hendak menjayakan citacita memajukan industri kreatif sebagaimana Korea Selatan melalui KORUS (Korea Cultural Center) dan KOFIC (Korea Film Council) yang berjaya memajukan industri kreatif sebagai penyumbang KDNK utama, dan pembangunan “creative futures” sebagai dasar perekonomian Korea.
Adakah dengan ahli kumpulan mereka yang ramai itu secara langsung mewujudkan satu kelompok kecil dan menjadi faktor penarik. Ini kerana didapati kumpulan KPop ada yang dianggotai berbelas orang.
PROF ABU HASSAN: Itulah inovasi, produk “creative futures”, iaitu dari kelaziman warisan dan tradisi berubah kepada bentuk dan kandungan yang baru, di mana ia bukan sekadar penerus atau penyalin naskhah klasik dan warisan. Jumlah anggota pada satu-satu kumpulan K-Pop hanyalah elemen, dan kerana kelainan itu wajar ia disebut sebagai kaedah di dalam pengurusan industri kreatif.
Sikap bangsa Korea yang sangat praktikal dan pragmatik, dengan nilai-nilai keterbukaan dan kecekapan menjadikan mereka sebagai masyarakat pencipta atau masyarakat inovatif dan kreatif yang sangat luar biasa.
Sebaliknya jika kita lihat pengalaman dalam industri kreatif negara kita, misalnya dalam industri filem, adakala pegawai-pegawai akaun, pengurus-pengurus kewangan menunjukkan kuasa “lebih pandai” mereka sehingga mereka mengawal “siapa yang patut diambil berlakon, skrip itu salah dan skrip yang betul begini, sekiranya artis ini yang jadi hero maka filem tidak akan laku, penyanyi itu yang kami suka bukan yang seorang ini.”
Malah ada lagak para pegawai akaun, pengurus pinjaman, pentadbir industri yang berperilaku mereka lebih hebat daripada profesor, pensyarah, seniman, penggiat yang berpuluh tahun mengabdi diri memajukan pengetahuan dan kepakaran buat masyarakat dalam industri kreatif ini. K-Pop adalah bukti sikap yang dinamik dengan kepercayaan untuk setiap ahli masyarakat mencetuskan novel idea, sehingga menghasilkan produksi, dan kemudiannya mendistribusikan produk-produk mereka akan berupaya membentuk pasaran dan seterusnya akan membina atmosfera budaya di peringkat antarabangsa.
Kita hanya sentiasa suka mencemuh, mencela dan menafikan kehebatan bakat, potensi serta keupayaan pengusaha kita, walhal Korea telah membuktikan K-Pop mereka pada hari ini telah berada sebaris gagahnya dengan kuasa industri kreatif lain khususnya Amerika dan Eropah.
Pada pandangan Prof, adakah fenomena K-Pop boleh kita katakan penjajahan secara halus?
PROF ABU HASSAN: Itu hanya persepsi. Dahulu masyarakat pernah memusuhi televisyen kerana dikatakan akan membawa pelbagai budaya yang bertentangan dengan budaya dan warisan tempatan, sehingga beribu seminar membincangkan negatif pengaruh TV berlangsung. Nyata tohmahan itu silap bila sekarang ini boleh dikatakan setiap rumah memiliki set TV. Kini, internet pula dianggap sebagai ancaman.
Maka kerana itu K-Pop tidak mungkin sejenis senjata pemusnah untuk penjajahan, kerana K-Pop hanya salah satu genre muzik, yang terhasil dari kreativiti dan inovatif masyarakat khususnya para remaja.
K-Pop tidak ubah seperti minuman Barbican, yang muncul setelah kebosanan dengan Coca-Cola dan Pepsi. K-Pop adalah produk industri kreatif yang terhasil daripada dinamiknya strategi pembangunan ekonomi kreatif Korea Selatan.
Sebab itu berbalik kepada hitung nasib industri kreatif kita, dalam situasi kita sebenarnya sangat bercita-cita kerana kita ada Dasar Industri Kreatif, ada Dana Industri Kreatif namun ke mana duduknya? Sebab kita sentiasa membuat keputusan dengan curiga bukan dengan cita-cita; seperti kecurigaan institusi kewangan yang menguruskan dana terhadap penggiat dan pengusaha kreatif di negara kita.
Asyik-asyik mendukung syarikat besar yang sudah berjenama dan kukuh, walhal kumpulan gergasi ini tidak sampai pun 10 syarikat.
Sedangkan para penggiat dan pengusaha kecil berganda-ganda bilangan mereka, namun semangat mereka dilemahkan oleh tindakan dan keputusan yang tidak pernah membantu untuk industri kreatif nasional maju, misalnya industri muzik. Dan K-Pop muncul mengisi kekosongan pasaran produk seni dan kreatif kita akibat masalah-masalah tadi, dan akhirnya K-Pop mendapat keuntungan yang sangat besar. K-Pop bukan penjajahan, sebaliknya fenomena ledakan pasaran K-Pop di negara ini berlaku kesan daripada gagalnya pembangunan industri kreatif kita akibat lemahnya sistem galakan, meskipun telah ada.
Pada pandangan Prof adakah K-Pop hanya boleh bertahan berapa tahun sebelum kehilangan peminat. Ini seperti irama Hindustan. Dahulu orang minat tetapi kini sudah tidak panas.
PROF ABU HASSAN: K-Pop tidak akan hilang, sama seperti irama Hindustan juga tidak hilang. Cuma mungkin akan berlaku inovasi-inovasi baru ke atas K-Pop, dan seterusnya berlaku perubahan ke atas bentuk dan kandungan muziknya.
Sekira K-Pop hanya popular beberapa tahun, dan selepas itu berubah ke bentuk yang lain; dalam kedudukan apa pun mereka telah berjaya menguasai pasaran ekonomi kreatif dunia khususnya di negara ini.
Justeru, kita tidak perlu prejudis, sebaliknya kita yang harus belajar untuk mengembalikan pasaran industri kreatif nasional kepada produk kreatif nasional sebagaimana yang telah berlaku sepanjang 1950 hingga 1970-an dulu. Yang penting ialah “bebasnya” penggiat dan pengusaha industri kreatif kita untuk berkarya dalam pilihan-pilihan mereka bukannya ditentukan itu dan ini oleh pegawai-pegawai akaun, pengurus-pengurus kewangan dan pentadbir-pentadbir jabatan kerana para seniman, artis, penyanyi, sasterawan, pelukis, dan sarjana seni dan kreatif telah benar-benar berilmu dan berpengetahuan tinggi dalam bidang mereka.
Adakah fenomena K-Pop ini membawa unsur negatif tanpa kita sedari?
PROF ABU HASSAN: K-Pop adalah seni hiburan. Ada atau tidak unsur negatif adalah terserah kepada masyarakat untuk menguruskannya. Cuma yang kita perlu pelajari bagi memenuhi keperluan pertumbuhan industri kreatif ini ialah, kesungguhan institusi kewangan untuk membantu dengan menyalurkan dana-dana kepada penggiat dan syarikat kecil serta artis baru, sekali gus akan menghasilkan lingkaran perusahaan dan pasaran kreatif.
Jika diperhati, apa sahaja yang dibuat oleh korea pernah dibuat oleh india. Dari segi pembangunan insan dlm bidang elektronik; satu amerika sudah faham kebolehan indians dlm mengendali dan membaikpulih barangan elektronik. Dalam bidang automotif, india telah menghasilkan jenama TATA. Malah dari segi tarian, india telah lama mendahuluikorea terutama dalam tarian yg meletakkan michael jackson sebagai inspirasi. Namun kemaraan india amat lemah jika dibanding dengan kemaraan korea melalui korean wave. Mungkin dengan perbandingan begini lebih jelas untuk dilihat faktor2 kejayaan korean wave.
BalasPadam-akmal harith (rabbit)