Jumaat, 1 Jun 2012

Dulu gigit telinga polis, kini ceroboh rumah

Wartawan Sinar Harian

Mohd Shukri
Mohd Shukri dipenjara lima bulan selepas mengaku salah menceroboh sebuah
rumah di Kampung Bukit Tok Beng, 24 Mei lalu.
 
 
KUALA TERENGGANU - Tidak pernah serik, baru sebulan dibebaskan dari penjara kerana kesalahan menggigit telinga seorang anggota polis berpangkat konstabel, seorang duda masih lagi mengulangi perbuatan jenayah.

Kali ini, dia didakwa kerana menceroboh sebuah rumah di Kampung Bukit Tok Beng, di sini, 24 Mei lalu.

Semalam, Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman penjara selama lima bulan terhadap duda kepada tiga anak itu, Mohd Shukri Muda, 34, dari Kampung Alur Damat Wakaf Tengah, di sini.

Hukuman dijatuhkan oleh Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi selepas dia mengaku salah menceroboh masuk dengan niat melakukan satu perbuatan yang menyalahi undang-undang di sebuah rumah di Kampung Bukit Tok Beng.

Mohd Shukri mengaku menceroboh rumah yang didiami Mohd Naaim Rusli, 25, pada 24 Mei lalu antara jam 5 petang hingga 7 petang.

Dengan itu, dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga boleh sampai tiga tahun atau dengan denda sehingga RM5,000 atau kedua-dua sekali jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L Ratna manakala Mohd Shukri tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, Mohd Shukri ditangkap oleh penduduk kampung kira-kira jam 6.40 petang ketika cuba menceroboh masuk rumah mangsa yang didiami bersama ibu dan seorang adiknya.

Mohd Shukri diserahkan keluarga mangsa yang sememangnya sebelum itu langsung tidak mengetahui kediaman mereka nyaris dicerobohi dan seterusnya dia diserahkan kepada polis rondaan untuk tindakan lanjut.

Sebelum ini, Mohd Shukri yang bertindak menggigit telinga kiri seorang anggota polis hingga hampir putus  Februari lalu dikenakan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini.

Bagaimanapun, dia yang mengalami kecederaan akibat terkena tembakan di kaki yang dilepaskan anggota polis berkenaan terpaksa memilih dipenjarakan selama dua bulan kerana tidak mempunyai wang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.