Menurut Anwar, Dr Mahathir jelas tidak dapat menerima kejatuhan Hosni Mubarak sedangkan era bekas Presiden Mesir itu jelas menunjukkan kebangkitan rakyat.
"Bagi saya, Mahathir tidak dapat menerima hakikat kehilangan Mubarak sebagai pemimpin," ujar beliau ditemui selepas Pelancaran dan Diskusi Buku Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Daulat Rakyat karya Datuk Dr Siddiq Fadzil malam tadi.
"Kita dapat melihat kebangkitan rakyat melalui Perhimpunan Bersih 3.0 tempoh hari, ini cara rakyat suarakan pendapat secara aman," kata beliau.
Tambah beliau, tidak perlu menyamakan cara kejatuhan bekas pemimpin Mesir itu kerana rakyat mampu bertindak relevan dan semakin bijak menilai sesuatu isu.
"Jangan khianati rakyat kerana rakyat mampu menjadi saksi dalam segala kemelut yang melanda negara ini," tegas beliau.
Dalam satu kenyataan semalam, Dr Mahathir berkata, usaha menjatuhkan kerajaan ala 'Arab Spring' tidak seharusnya berlaku di negara ini kerana Malaysia jelas mempunyai sistem demokrasi lebih baik berbanding negara Timur Tengah.
Dr Mahathir berkata, jika perbandingan demokrasi antara Malaysia dan negara Arab dibuat, jelas membuktikan negara mendahulukan kepentingan rakyat dalam setiap perkara.
"Arab Spring ini adalah pemberontakan rakyat menjatuhkan kerajaan di negara tersebut, jika kita bandingkan negara-negara Arab ini, mereka tidak pernah demokratik, dan pemimpin mereka menerajui negara untuk kepentingan diri dan tidak memberi keutamaan kepada rakyat.
"Rakyat semakin menderita, kadar peratusan kemiskinan meningkat, malahan ada lulusan universiti tidak mendapat pekerjaan yang seterusnya menjadi punca rakyat memberontak," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.