KULIM -- Kelab Penyokong Barisan Nasional Parlimen Kulim/Bandar Baharu (KPBNKBB) mensyaratkan anggotanya tidak boleh menawar diri sebagai calon mana-mana parti politik pada pilihan raya umum akan datang.
Presidennya Mokhtar Omar berkata anggota kelab itu berikrar taat setia menyokong semua aktiviti Barisan Nasional (BN) Kulim/Bandar Baharu dalam usaha merampas semula kerusi parlimen kawasan tersebut dan dua kawasan dewan undangan negeri.
"Kami secara sukarela menawarkan diri untuk membantu secara ikhlas memenangkan semua calon yang bertanding atas tiket BN pada pilihan raya akan datang ini," katanya kepada Pengerusi BN Kulim/Bandar Baharu Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir pada satu pertemuan, di sini malam tadi.
Seramai 30 anggota jawatankuasa kelab tersebut bersama beberapa anggota jawatankuasa Umno bahagian terbabit hadir pada pertemuan yang berlangsung hampir tiga jam itu.
Mokhtar adalah Ketua Umno bahagian itu sebelum diambil alih bekas Menteri Penerangan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir kira-kira 35 tahun lalu.-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.