Khamis, 31 Mei 2012

Tunggu kejutan di Himpunan Hijau esok

Harakahdaily,
 

KUALA LUMPUR: Dijangkakan akan ada beberapa kejutan akan diumumkan oleh PAS dalam Himpunan Hijau ke Putrajaya yang akan berlangsung di Stadium Darul Aman Alor Setar esok.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali ketika ditanya berhubung 'kejutan' itu, beliau berkata ianya mungkin diumumkan pada acara kemuncak di sebelah malamnya.

"Malam esok adalah program kemuncaknya di mana semua pimpinan utama PAS akan hadir.

"Semestinya mungkin ada beberapa orang baru nak isytihar masuk PAS," katanya.

Sebelum ini desas-desus menyebut beberapa lagi tokoh berpengaruh dan pernah memegang jawatan tinggi negara akan membuat perisytiharan meyertai PAS pada Himpunan Hijau ini.

Sejak kebelakangan ini, ramai tokoh dan salebriti yang cenderung kepada agama mengumumkan secara terbuka menyertai PAS.

Ianya termasuk bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Fauzi Shaari, dan penyanyi Wan Aishah Wan Ariffin atau Aishah.

"InsyaAllah, tokoh penting," kata Mustafa lagi.

Sementara itu, Himpunan Hijau esok akan bermula dengan program tertutup di sebelah pagi di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut.

Program yang dinamakan 'Amanat Khas Pimpinan' itu akan menghimpunkan seluruh pimpinan PAS dari semua peringkat.

Kemuncak program pada pagi itu adalah ucapan amanat Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

"Ucapan Presiden PAS itu nanti semacam ucapan dasar waktu muktamar juga lah.

"Ianya semestinya akan fokus juga kepada persiapan dan unsaha menghadapi pilihan raya," kata Mustafa lagi.

Program terbuka kepada umum pula akan bermula seawal jam 4 petang di Stadium Darul Aman yang dinamakan Xpresi Hijau Anak Muda ke Putrajaya.

Program itu akan menampilkan penceramah tersohor, Ustaz Azhar Idrus dan selebriti Bob Lokman yang akan mempersembahkan sketsa bertajuk Belantan Pusaka Durjana.

Program kemuncak sebelah malamnya pula juga di Stadium Darul Aman dan akan bermula dengan solat Maghrib secara berjemaah, solat hajat dan munajat perdana.

Program ceramah oleh pimpinan utama dan 'kejutan' akan dimulakan sejurus selepas solat Isyak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.