MALAYSIA KINI
Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) hari ini mula mempamerkan senarai Rang Daftar
Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2012 di 952 tempat di seluruh negara
selama 14 hari.
SPR dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur memaklumkan senarai itu
dipamerkan selaras dengan kehendak Peraturan 13(5), Peraturan-Peraturan
Pilihan Raya (Pendaftaran
Pemilih) 2002.
Ia dipamerkan di Pejabat Pilihan Raya Negeri di 15 tempat, Pejabat Pos
Berkomputer (451), Kompleks/Pejabat Kerajaan (86), Pejabat
Daerah/Pejabat Tanah (124), Majlis Daerah/Perbandaran (48), Dewan
Serbaguna/Rukun Tetangga/Balai Raya/Penghulu/Dewan (194) dan lain-lain
tempat (34).
Semakan juga boleh dibuat melalui laman web SPR di www.spr.gov.my, menurut suruhanjaya itu.
Menurut SPR sebanyak 289,255 permohonan pendaftaran pemilih baru dan
104,430 permohonan untuk pertukaran alamat pusat mengundi daripada
pemilih yang sedia berdaftar telah diterima bagi tiga bulan pertama
tahun ini.
"Warganegara Malaysia yang baru memohon menjadi pemilih atau mana-mana
pemilih berdaftar yang telah memohon untuk pertukaran alamat pusat
mengundi dinasihat supaya menyemak senarai tersebut," menurut SPR.
Suruhanjaya itu memaklumkan warganegara yang baru berdaftar sebagai
pemilih tetapi mendapati nama mereka tidak tersenarai boleh membuat
tuntutan dengan menggunakan Borang B.
Sementara bagi pemilih berdaftar yang hendak membuat bantahan terhadap
kemasukan nama mana-mana orang dalam Rang Daftar Pemilih itu boleh
mengisi Borang C, tidak melebihi 20 orang, katanya.
Borang tersebut hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar (Pengarah Pilihan
Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada hari bekerja
dalam tempoh Rang Daftar Pemilih tersebut dipamerkan.
"Nasihat SPR bagi mereka yang ingin membuat bantahan, pastikan bantahan
itu adalah berdasarkan kepada alasan yang kukuh dan tidak dibuat secara
melulu," menurut kenyataan itu.
SPR memaklumkan bahawa suruhanjaya itu tidak mempamerkan senarai nama
yang akan dipotong dari Daftar Pemilih yang telah hilang kelayakan
seperti meninggal dunia, lucut hak warganegara dan sebagainya.
"Bagaimanapun, untuk memudahkan parti politik membuat semakan kepada
senarai nama itu, SPR akan mengedarkan cakera padat (CD) yang
mengandungi senarai nama yang akan dipotong kepada parti-parti politik,"
katanya.
Sebarang pertanyaan boleh menghubungi ibu pejabat SPR di talian 03-8885
6565 atau faksimili 03-88889117 atau menghubungi mana-mana Pejabat
Pilihan Raya Negeri. Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.