Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Menyedari nasib kaum India di Malaysia terus dipinggirkan oleh kerajaan UMNO-BN, kumpulan Malaysian Indian Voice (MIV) dan jawatankuasa bersama Barisan Bertindak Hak Kaum India (INDRAF 2.0) secara terbuka menyuarakan sokongan mereka kepada Pakatan Rakyat.
Satu majlis rapat rakyat telah diadakan di Brickfields di sini semalam untuk menyatakan pendirian kaum India dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13 akan datang.
Menurut pengerusi MIV, V.Raidu, ia akan bekerja keras untuk menukar kerajaan di peringkat Putrajaya supaya kerajaan baru Pakatan Rakyat dapat membela nasib kaum India yang telah lama dipinggirkan kerajaan UMNO-BN yang tidak bertanggungjawab.
“Matlamat kita adalah untuk meningkatkan mutu hidup masyarakat miskin India dari sudut ekonomi, sosial, politik dan sebagainya termasuk dalam sektor kerajaan mau pun swasta,” katanya.
Antara tuntutan NGO ini ialah isu pendidikan, hak kewarganegaraan, kad pengenalan, sosial dan ekonomi masyarakat India di samping menggesa kerajaan memupuk dan meningkatkan perhubungan antara kaum dengan menggubal Akta Hubungan Antara kaum dan Akta Perlindungan Minoriti.
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang yang hadir pada majlis semalam berkata, kehadiran ribuan masyarakat India merupakan satu sejarah dalam menuntut perubahan demi generasi kini dan akan datang.
“Sejak 54 tahun di bawah UMNO-MCA-MIC, adakah kita dapat faedah? Yang paling beruntung adalah ‘UMNOputra, MCAputra dan MICputra…” katanya.
Justeru, beliau menyeru semua pihak termasuk kaum India supaya menyokong tuntutan BERSIH 2.0 dan 3.0 yang menuntut agar politik kotor dihentikan serta-merta.
“Kita mahu satu mesyuarat diadakan dengan semua parti-parti politik untuk hentikan politik kotor. Kita juga mahu jaminan dari BN sekiranya mereka kalah, mereka dapat menerima kekalahan tersebut dengan baik dan menyerahkan kuasa secara aman,” tambah beliau.
Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu pula menyeru seluruh rakyat Malaysia agar menolak UMNO-BN kerana mereka sering memainkan isu perkauman untuk memecahbelahkan kesatuan rakyat semata-mata untuk menang pilihan raya.
“Isu perkauman ditaja sendiri oleh pemerintah dan mereka inilah pemerintah yang ‘dajal’ dan tidak berwibawa….” katanya disambut dengan tepukan gemuruh hadirin.
“Sepatutnya kerajaan mainkan peranan untuk satukan rakyat, bukan pecahbelahkan,” ujarnya lagi, menambah bahawa beliau tidak akan berganjak bagi merubah politik Malaysia yang semakin kotor dengan politik perkauman.
Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berkata, semua rakyat perlu menerima hakikat bahawa semua kaum harus dihormati dan dimuliakan.
“Percayalah dengan pendirian Pakatan Rakyat. Ini bukan masalah orang India sahaja, ini masalah kita semua. Ini masalah negara,” ujarnya.
Katanya, orang Melayu tidak akan rugi malah akan lebih dihormati kalau pemimpin menunjukkan sikap yang adil.
“UMNO tidak berhak untuk menafikan hak rakyat negara ini. Kerajaan UMNO-BN gagal untuk melindungi rakyatnya sendiri,” ujarnya lagi.
Majlis INDRAF 2.0 berlangsung dengan aman dan berjaya menarik ribuan hadirin.
Antara wakil dan pimpinan NGO serta parti politik yang hadir serta memberi ucapan ialah bekas pemimpin UMNO Tamrin Ghaffar dan Datuk Mazlan Haron mewakili Amanah Merdeka; Datuk Thasleem Mohamed mewakili Badan Hak Asasi Kaum India (NIAT) serta Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Dr. P.Ramasamy, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah, EXCO Selangor Ronnie Liew, Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo dan ramai lagi. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.