KUALA LUMPUR - Pelajar yang mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Enam, matrikulasi, institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan IPTS dibenarkan menangguh untuk menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata keputusan itu dibuat dengan persetujuan Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pelajaran, dengan pelatih dibenarkan menyertai PLKN selepas tamat pengajian.
Persetujuan juga dicapai untuk menetapkan had umur maksimum 35 tahun untuk peserta menyertai program itu, katanya kepada pemberita selepas melancarkan pergerakan pelatih-pelatih PLKN Kumpulan 2 Siri 9 di Padang Bangunan Zetro, Wangsa Maju, di sini hari ini.
Program 2 Siri 9/2012 PLKN yang bermula hari ini melibatkan pergerakan 53,348 pelatih di seluruh negara dengan menaiki 906 buah bas, 46 penerbangan dan sembilan buah feri untuk tempoh tiga hari ini.
Pergerakan hari ini melibatkan seramai 19,300 orang dengan menaiki 324 buah bas, 29 penerbangan dan sebuah feri.
"Penangguhan ini bagi membantu ibu bapa supaya tidak perlu mengambil anak mereka yang menyertai latihan ini untuk melanjutkan pelajaran dan akan menghantar anak mereka untuk menyertai latihan ini kembali setelah tamat pengajian," katanya.
Abdul Hadi berkata selain itu, calon yang sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), dijangka diumumkan pada September depan, dibenarkan untuk memohon menyertai PLKN.
Permohonan untuk menyertai PLKN akan dibuka seawal-awalnya hujung minggu ini, katanya.
Abdul Hadi juga berkata JLKN juga mengadakan kaji selidik mengenai status indeks jisim tubuh (BMI) 32,032 orang pelatih PLKN kumpulan satu awal tahun ini bagi mengenal pasti kesesuaian aktiviti fizikal atau keperluan mereka.
Katanya selepas 10 minggu menyertai PLKN, seramai 397 daripada 2,502 peserta yang di bawah kategori obesiti dan 207 orang daripada 4,003 peserta di bawah kategori gemuk telah berjaya menurun berat badan.
Kesemua 504 peserta itu mendapat berat badan yang ideal setelah menamatkan latihan mereka, katanya.
"Ini adalah kali pertama program itu dijalankan, dan berharap selepas mereka menamatkan latihan ini, mereka akan terus mengekalkan berat badan yang ideal, " katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.