Rabu, 2 Mei 2012

Kenapa P'si SPR dan timbalan perlu letak jawatan

Dr.Syed Azman Syed Ahmad,
Banyak yang telah diperkatakan oleh pelbagai pihak tentang perjalanan demokrasi dan sistem pilihan raya yang ada di negara kita. Satu sistem pilihan raya yang sihat memerlukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan tugas dan memantau pilihan raya secara tidak berpihak dan neutral.
Adalah amat penting bagi SPR menjadi bebas dan tidak berpihak supaya SPR dapat memenangi keyakinan orang awam terhadap peranan dan fungsinya.

Malangnya, walaupun selepas lebih dari 5 dekad negara kita merdeka, perjalanan dan sistem pilihan raya di negara kita terus berjalan dengan tempang, tidak telus dan penuh dengan keraguan.

Ini di tambah lagi, sejak akhir-akhir ini, wibawa SPR menjadi persoalan besar di kalangan rakyat Malaysia sendiri.

Pendedahan berani Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar di Parlimen pada bulan lepas mengenai isu ’konspirasi terancang’ antara SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mengeluarkan MyKad dan pendaftaran warga asing di dalam daftar pemilih SPR menjadikan mereka sebagai pengundi yang ’sah’ amat menjejas imej SPR.

Malah antara individu yang dikaitkan dalam ‘Task-Force’ khas ini adalah Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar sendiri.

Sementara itu, pada minggu lepas Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Saifuddin Nasution Ismail pula mendedahkan bahawa Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Timbalannya, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar adalah ahli Umno.

Saifuddin mendakwa, Abdul Aziz merupakan ahli Umno cawangan Sri Ampang Baru dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya bagi Parlimen Ampang, Selangor manakala Wan Ahmad pula berdaftar di cawangan Kubang Bunggor dalam DUN Chetok bagi Parlimen Pasir Mas, Kelantan.

(Gambar artis tentang sikap pemimpin SPR)

Kedua-dua pendedahan berani ini kini meletakkan kedudukan Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Timbalan beliau, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar sebagai sudah tidak layak lagi bagi memimpin SPR yang perlu di lihat ’bebas, adil dan berkecuali’.

Kepercayaan awam terhadap mereka kini sudah pudar dan kedudukan mereka kini tidak lagi diyakini oleh rakyat Malaysia yang cintakan kepada keadilan dan pilihan raya yang Bersih dan Adil.

Penjelasan serta jawaban yang di berikan oleh Pengerusi SPR dan Timbalannya mengenai kedua-dua isu besar yang didedahkan ini, dilihat amat tidak meyakinkan, ’defensif’ dan cuba meletakkan kesalah kepada pihak lain.

Lebih parah lagi SPR kini hanya dilihat menjalankan tugas mereka ’berkhidmat untuk Umno/BN’ bagi menjamin kelangsungan kuasa di Puterajaya dan bukannya untuk menegakkan demokrasi yang tulen dinegara kita.

Lebih parah lagi kini, kedua-dua mereka yang memimpin SPR dilihat telah memihak dan menjadi alat serta ‘kuda tunggangan’ Umno/BN.

Bagi seluruh rakyat Malaysia rasanya  sudah cukup pengalaman Pengerusi SPR yang terdahulu, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang cuba memperbodohkan seluruh rakyat Malaysia  dengan menarik balik kewajipan celup jari bagi setiap pengundi dengan mengemukakan alasan ‘keselamatan’ dan ‘ada dakwat palsu’ yang telah di temui.

Alasan ini terlalu dangkal dan tidak masuk akal? Hanya yang bodoh sahaja boleh percaya kepada alasan Pengerusi SPR itu. Namun kini selepas bersara, barulah beliau membuat pengakuan terbuka bahawa ‘adanya tangan-tangan ghaib’ yang bertindak demikian.

Begitu juga dengan peranan SPR yang dilihat terus gagal menasihat kerajaan Umno/BN bagi mengemukakan penambahan kerusi Parlimen di negeri-negeri majoriti Melayu seperti di Terengganu, Kelantan dan Kedah sedangkan penambahan kerusi yang ketara telah dilakukan dalam pilihanraya yang lepas di negeri-negeri yang menjadi kubu Umno/BN seperti Johor, Sarawak dan Sabah yang tujuannya adapah bagi menyelamatkan kuasa politik Umno/BN semata-mata.

Ini ditambah lagi dengan persoalan ‘akses media yang bebas dan adil’. Apakah selama ini Pengerusi SPR dan Timbalannya  ‘buta mata dan buta hati’ apabila melihat saban hari media milik kerajaan seperti RTM dan Bernama tidak langsung memberi liputan positif dan ruang kepada pimpinan pembangkang di negara kita?

Apakah RTM dan Bernama sememangnya menjadi milik Umno/BN sehingga tidak ada langsung liputan yang seimbang dan adil untuk parti pembangkang?

Yang nyata media perdana ini telah menjadi alat propaganda Umno/BN dan bukannya untuk mendidik rakyat Malayia.

Bagi saya, Tan Sri Abdul Aziz dan Datuk Wira Wan Ahmad telah hilang “Kepercayaan Awam’ dalam mereka memimpin SPR. Apatah lagi mereka kini telah kehilangan ‘Moral Ground’ untuk terus mengekalkan jawatan mereka di SPR.
‘Kepercayaan Awam’ adalah syarat tonggak dalam kriteria perlantikan seseorang sebagai anggota dalam SPR. "Seorang yang diamanahkan menduduki jawatan sebagai anggota SPR hendaklah diyakini bebas, tidak berpihak dan berkecuali”

Tidak ada pilihan kecuali kedua-dua mereka segera meletakkan jawatan secara bermaruah agar kita dapat mengembalikan kepercayaan rakyat Malaysia terhadap kewibawaan peranan dan fungsi institusi SPR itu sendiri.

Izinkan Kebawah Duli Yang Dipertuan Agong  membentuk satu Suruhanjaya Siasatan DiRaja bagi menyiasat pendedahan Datuk Mahfuz dan Datuk Saifuddin itu sebelum membenarkan Parlimen dibubarkan. Langkah ini adalah jalan terbaik bagi menyelamatkan demokrasi di negara kita lebih-lebih lagi pada ketika Malaysia akan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang.

Penulis adalah Penolong Setiausaha Agong PAS. Beliau boleh dihubungi melalui Email syedazmans@yahoo.co.uk

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.