Oleh Syed Imran
Kebelakangan ini keganasan sering berlaku di kalangan para pendukung dan penyokong parti-parti politik khususnya yang berbangsa Melayu dan beragama Islam. Ianya tidak seharusnya berlaku walaupun berlainan fahaman dan pegangan politik kepartian.
Jika satu ketika dahulu, orang Melayu menjadikan sebagai satu jenaka apabila mesyuarat sebuah parti politik yang mewakili satu kaum tertentu berkesudahan dengan pergaduhan dan saling membaling kerusi dan apa saja objek yang boleh dilontar, sekarang mereka pula yang mentertawakan perangai dan tingkah laku orang Melayu.
Berlainan pegangan dan sokongan politik tidak seharusnya dipenuhi
dengan keganasan dan kesamsengan yang bukan sahaja memperlihatkan
ketandusan disiplin tetapi kerendahan akhlak. Biar berbeza pendapat dan
sokongan tetapi jangan pula ia dijadikan alasan untuk mengganas dan
mencederakan saudara sebangsa dan seagama ataupun sesiapa sahaja.
"Sesungguhnya orang mukmin adalah bersaudara kerana itu damaikanlah
antara dua saudaramu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mendapat
rahmat." (Surah Al-Hujuraat: Ayat 10)
Majoriti orang Melayu bimbang perpecahan bangsa yang sedang berlaku
atas kerekahan fahaman politik akan membawa padah kepada negara dan
keturunan akan datang. Orang Melayu mesti belajar daripada sejarah dan
pengalaman bangsa dan negara lain yang hancur apabila kesatuan bangsa
runtuh.
Kita hendaklah jadikan iktibar daripada sejarah hitam Melaka dan bangsa
yang ditakluk Portugis pada 1511 diikuti selama 446 tahun penjajahan
oleh Belanda, Inggeris dan Jepun dan selepas Merdeka peristiwa berdarah
13 Mei 1969. Kita percaya mereka yang terlibat dalam keganasan dan
tindakan samseng kebelakangan ini belum lahir semasa peristiwa hitam
1969 itu berlaku dan tidak tahu akan padahnya.
Bangsa Melayu tidak mampu lagi untuk berpecah-belah. Biarlah berlainan
fahaman politik tetapi jangan jadikannya sebagai satu alasan untuk
bergaduh dan berpecah-belah. Jadikan perbezaan pendapat dan pegangan
politik sebagai satu kekuatan bukan satu kelemahan.
Peringatan yang diberikan dalam al-Quran secara nyata mengajak manusia
supaya menjaga ikatan silaturahim dan persaudaraan, bukan sebaliknya.
Kita diajar supaya menjauhkan diri daripada melakukan sesuatu yang boleh
menjejaskan ikatan persaudaraan dan kejiranan, bukan bermusuhan.
Perpecahan hanya akan melemahkan umat Islam. Apabila menjadi lemah sudah tentu akan berlaku kerosakan dan kehancuran.
Semua pihak yang 'bermusuhan' akibat berlainan fahaman politik perlu
ingat dan disedarkan bahawa Islam menyeru kepada perpaduan sejagat,
melarang sama sekali perpecahan apa lagi sesama umat Islam.
Apa yang berlaku hari ini, terutamanya di kalangan negara berpenduduk
majoriti Islam, amat menyedihkan kerana ia berlawanan sama sekali dengan
apa yang dianjurkan oleh Islam. Perkara yang sama sedang berlaku di
Malaysia, semuanya kerana berlainan fahaman politik yang sempit.
Saya percaya majoriti orang Melayu dan umat Islam di Malaysia, khasnya
dan rakyat Malaysia amnya, menolak perpecahan apatah lagi keganasan
dan tindakan samseng, tak kiralah oleh mana-mana pihak atau kumpulan
tertentu.
BERSATU KITA TEGUH, BERCERAI KITA ROBOH.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.