Rabu, 2 Mei 2012

Hishamuddin Dicabar Dedahkan Arahan Kepada Editor





SHAH ALAM : Peringkat tertinggi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dikenalpasti sebagai pihak bertanggungjawab yang mengeluarkan arahan untuk menghalang petugas media semasa membuat liputan BERSIH 3.0 baru-baru ini.

Perkara itu dinyatakan Naib Presiden PKR, N Surendran dalam satu kenyataan media yang dihantar kepada TVSelangor hari ini.

Menurutnya, pada 27 April lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein telah mengarahkan kesemua ketua editor akhbar-akhbar utama untuk bertemu beliau.

Beliau berkata, semasa pertemuan tersebut, kesemua ketua editor terbabit diberi arahan berhubung kaedah untuk melaporkan perhimpunan BERSIH 3.0 selain diminta untuk tidak menunjukkan kekejaman pihak polis.
“Pihak polis dengan jelas telah mengikut telunjuk KDN apabila pihak media yang sedang merakam aksi salah guna kuasa polis terhadap orang awam juga dikasari. Tiada sebarang kenyataan dibuat sehingga kini oleh Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara tentang keganasan tersebut.

Jawapan Hishamuddin bahawa rampasan barang-barang wartawan adalah prosedur biasa pihak polis dianggap sebagai sesuatu yang mengejutkan,” katanya.

Tambahnya,tindakan itu sekaligus menujukkan serangan serius kerajaan Umno-BN terhadap kebebasan akhbar.

Jelasnya, di bawah sistem demokrasi negara, Menteri Dalam Negeri tidak mempunyai sebarang hak terhadap media berhubung laporan apa yang boleh disiarkan.

Beliau turut menyifatkan dalih Datuk Seri Najib Razak yang meminda Akta Penerbitan dan Mesin Cetak (PPPA 1984) untuk membenarkan kebebasan akhbar sebagai satu lagi kepalsuan.

“Kami menyeru Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Hussein untuk mendedahkan dalam masa 24 jam butir-butir lengkap arahan yang diberikan kepada media semasa mesyuarat itu.

Kami seterusnya meminta Najib dan Hishamuddin menerangkan dan menjawab dakwaan layanan kejam dan salah guna kuasa

polis terhadap media dan orang ramai semasa perhimpunan BERSIH 3.0 tempoh hari,” tegasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.