Itu sekali-sekala, sedangkan kemalangan yang berlaku setiap hari itu, sebagai contoh, pun boleh memeriahkan suasana.
Seekor lembu dilanggar kereta di jalan raya, ratusan kenderaan terperangkap di laluan sejauh 5 kilometer kerana yang di dalam kenderaan hendak lihat apa jadi pada lembu dan kereta.
Seorang hamba ALLAH terbaring di jalan akibat terjatuh motosikal, dua orang tampil memberi bantuan, 140 orang lagi berdiri keliling dan menonton. Kan itu perkara biasa!.
Kalau pesta sebenar, yang jom sana jom sini, impaknya tidak perlu cakap lagilah; anak pun boleh hilang.
Jika mula jam 8 malam, sebelum Maghrib kawasan pesta sudah penuh dengan peminat Cuba tengok Duduk Bantah Bersih 3.0 di KL Sabtu lalu. Ada yang dakwa yang hadir mencecah 300,000 orang. Mungkin tidak seramai itu. Cuma sedih berlaku pertembungan yang sepatutnya boleh dielak antara peserta demonstrasi dan pihak berkuasa.
Saya menimbulkan perkara ini sebab ada kawan mencadangkan supaya poster dan bendera parti-parti bertanding dalam semua pilihan raya pada masa hadapan diharamkan.
Menurut ramalannya, seperti juga jangkaan ramai pendeta politik, perang poster menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tidak lama lagi ini sengit daripada yang sudah-sudah.
Untuk mengelak timbul pelbagai masalah dan kerumitan - salah faham, perasaan marah, perbuatan nakal dan sabotaj serta yang paling dikhuatiri, pergaduhan melibatkan buku lima antara pihak-pihak terlibat - juga supaya ia tidak membazir, haramkan sahaja pemasangan poster dan bendera.
Kebanyakan bahan yang dirintangkan untuk menarik penyokong semasa musim kempen pilihan raya adalah vinil dan bahan tidak boleh dilupuskan.
Perbelanjaan untuk membuat bahan-bahan itu, kos untuk upah pekerja bagi memasangnya di merata tempat di seluruh negara, ditambah dengan kerja menurunkan atau menanggalkannya dari tiang, pokok, tembok dan wayar akan menelan belanja jutaan ringgit.
Bagaimana pula dengan kerja yang perlu dilaksanakan pihak berkuasa tempatan bagi melupuskan beribu tan bahan sampah yang bersepah setiap hari sebelum dan selepas berlangsungnya pilihan raya? Entah berapa juta ringgit terpaksa dibelanjakan untuk membersihkan bandar dari poster dan bendera yang digantung dan dilekat di merata tempat; di tiang elektrik, pokok, dinding bangunan, kiri kanan jambatan dan di mana sahaja yang boleh.
Kesulitan pihak berkuasa mendapatkan kawasan sesuai dan cukup untuk membuang sampah bertimbun-timbun itu adalah satu masalah lagi.
Tanya kawan saya; apakah pengundi benar-benar perlukan semua suasana berpesta ini pada musim kempen pilihan raya bagi menentukan siapakah dalam kalangan calon yang perlu dipangkah? Jawapannya jelas. Dalam zaman internet hari ini, di mana sesuatu maklumat timbul hanya dengan ketukan jari di papan kunci, mana ada lagi maklumat boleh disorok!
Dalam masa sangat singkat, apa berlaku di hujung dunia boleh merebak pantas dan meluas ke seluruh pelosok di muka bumi ini seperti api membakar daun kering.
Tapi cadangan kawan saya lebih menekankan kepada penjimatan kos, di samping masalah lain.
Saya setuju. Bahkan, kalau bolehlah, mansuhkan sekali tempoh 10 hari atau dua minggu untuk kempen pilihan raya.
Bukan maksud saya berseloroh, jauh sekali untuk mempersendakan, tapi kita semua pun tahu di Malaysia, ‘kempen’ pilihan raya tidak pernah berhenti. Hari hari ada.
Hari ini selesai pilihan raya, esok ‘kempen’ bermula kembali. Tidak kira parti belah sini atau belah sana, dan ia berterusan hingga bertemu tarikh pilihan raya yang satu lagi.
Tarikh PRU13 akan datang entah bila, tapi macam-macam pendedahan, dakwaan dan tuduhan sudah dibuat, seolah-olah ia akan berlangsung esok.
Adalah satu keajaiban jika ada satu hari yang anda tidak alami suasana ‘kempen’ pilihan raya.
Cakap pasal kos, sebenarnya banyak perkara boleh pihak berkuasa dan rakyat buat untuk mengurangkan perbelanjaan.
Kita tidak perlu tukar permaidani dan langsir di rumah atau di pejabat, tapi setengah daripada kita yakinkan diri kita untuk tukar; kita boleh tidak memberi cenderahati mahal-mahal kepada orang yang merasmikan majlis, tapi kita bersusah-payah mahu memberinya juga; kita tidak perlu belanja besar untuk kenduri, tapi ada yang sanggup bergadai bergolok untuk mengahwinkan anak secara besar-besaran.
Kita digalakkan lakukan sistem ‘pool’ semasa berulang-alik antara rumah dan tempat kerja, tapi kita naik sebesar-besar kereta seorang diri. Kita sudah biasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.