Muhammad Faizal, |
PETALING JAYA: Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM) perlu bertanggungjawab sepenuhnya bagi memastikan setiap remaja yang keluar dari pusat jagaan di bawah selian mereka diberi hak kerakyataan serta jaminan pekerjaan.
Bekas penghuni Rumah Budak-budak Lelaki Tun Abdul Aziz Melaka, Muhammad Khairul Hafiz Abdullah menjelaskan kepada pemberita, sepanjang 24 tahun beliau menderita apabila tidak mendapat taraf kewarganegaraan walaupun dilahirkan di Malaysia.
"Saya diistilah sebagai 'anak tong sampah' dilahirkan di negara ini tetapi sejak saya dilahirkan hinggalah tahun 2011 saya bukannya warganegara ini.
"Setelah saya keluar dari pusat jagaan tersebut pada umur 18 tahun bermulalah detik-detik yang bergitu mencabar kerana hak saya sebagai warganegara tidak diperolehi," jelasnya.
Tambahnya lagi, yang merupakan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Sosial Malaysia (Perbak), setelah beliau keluar dari pusat jagaan tesebut, beliau sukar untuk memperolehi pekerjaan kerana statusnya sebagai penduduk tetap.
Malah yang lebih mendukacitakan pihak JKM tidak memainkan peranan dan tanggungjawab mereka bagi memastikan sesiapa yang keluar dari pusat tersebut terjamin pekerjaan mereka.
"Sekarang seramai 1,758 bekas penghuni berada di bawah seliaan Perbak dan kebanyakan mereka tidak mempunyai kad pengenalan sebagai warganegara.
"Ini adalah satu masalah yang besar kepada remaja-remaja tersebut untuk mendapatkan kerja sehinggakan mereka terpaksa melakukan jenayah untuk mencari sesuap nasi malah remaja-remaja perempuan sanggup menjadi pelacur hanya untuk mendapatkan wang," tegasnya lagi.
Katanya kesemua remaja yang telah keluar dari pusat jagaan tersebut lebih rela ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara dari terus menderita di luar yang belum tentu tahu makan minum mereka serta tempat tinggal.
Khairul menegaskan kerajaan perlu menunaikan tiga tuntutan bagi memastikan remaja yang keluar dari pusat tersebut mendapat kehidupan baru yang lebih baik.
"Setiap bayi yang berada di bawah jagaan JKM perlu diberikan status kewarganegaraan secara terus, bila mereka keluar selepas 18 tahun JKM perlu sediakan pekerjaan untuk memastikan remaja tersebut tidak merempat bila keluar.
"Selain itu juga, mereka yang telah meninggalkan pusat tersebut perlu diberi bantuan selama setahun bagi sara diri untuk mereka," sambung beliau lagi.
Selama itu, beliau memiliki kad pengenalan sementara (Hijau) yang tamat tempoh pada 6 Januari 2005, kemudian diberikan Kad Pengenalan Pemastautin Tetap (Merah) pada tahun 2006 sehinggalah mendapat status warganegara serta pemegang kad pengenalan biru pada tahun 2011.
Sepanjang tempoh tersebut sehingga tahun 2011 beliau terpaksa berdepan kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan kerana kebanyakan syarikat tidak mahu menerima beliau sebagai pekerja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.