Isnin, 30 April 2012

Kesatuan wartawan kutuk tindakan polis

MALAYSIA KINI

Enam kesatuan wartawan menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak menyiasat dakwaan tindakan ganas dalam perhimpunan BERSIH 3.0 secara terperinci dan mendakwa individu terbabit.

Enam kesatuan wartawan itu, termasuk Pusat Kewartawanan Bebas, Piagam Aliran 2000, Kesatuan Wartawan Utara Tanah Melayu, membuat desakan itu dalam satu kenyataan bersama semalam.

Kenyataan itu juga mengutuk tangkapan ke atas dua wartawan dan tindakan ganas pihak polis terhadap petugas media yang membuat liputan ke atas himpunan 'Duduk dan Bantah' itu.

"Perdana menteri mesti mengambil tindakan tegas bagi memastikan semua anggota unit beruniform memahami dan menghormati peranan wartawan dan memberi pampasan ke atas barangan mereka yang dirosakkan dengan sengaja," menurut kenyataan itu.

Laporan media, video dan tulisan di Facebook dan di Twitter wartawan dan rakan setugas mereka menunjukkan sekurang-kurangnya enam kejadian seperti itu.

"Kami melihat insiden ini sebagai serangan bersepadu ke atas kebebasan media memandangkan ia nampaknya disasarkan untuk menghalang kewartawanan profesional dalam mendokumentasi keganasan polis ke atas sebahagian peserta BERSIH," kenyataan itu dipetik.

Sikap polis terhadap pemberita seperti itu mungkin disebabkan oleh rasa malu mereka terhadap gambar dan video berhubung kekejaman polis yang dirakam wartawan sebelum ini, menurut kenyataan bersama itu.

Turut menandatangani kenyataan itu ialah Persatuan Media dan Jurugambar Cina Pulau Pinang, Kelab Media Pulau Pinang dan  Penang Press Employees Cooperative Society Limited.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.