Khamis, 26 April 2012

Kembalikan PRM ke parlimen dan dewan undangan negeri

Viktor Wong, Malaysia Chronicle

  Parti Rakyat Malaysia atau lebih dikenali sebagai PRM dalam singkatan umumnya adalah merupakan sebuah parti politik yang tertua di Malaysia. PRM dibentuk pada tanggal 11 November 1955 oleh tiga tokoh pejuang kemerdekaan terkemuka pada masa itu, iaitu Ahmad Boestaman, Dr Burhanuddin Al-Helmy dan Ishak Haji Mohamad.

PRM yang dibentuk pada hujung tahun 1955 adalah sebuah parti nasionalis berhaluan kiri yang telah memulakan perjuangan menuntut kemerdekaan untuk Malaya daripada penjajahan British.

Di tahun 1950an, PRM melalui gabungannya dengan sebuah lagi parti iaitui Parti Buruh untuk membentuk Barisan Sosialis dan bertanding di dalam pilihanraya umum pada tahun 1959 di mana kedua-dua parti tersebut berjaya memenangi 8 kerusi parlimen dan puluhan kerusi di peringkat majlis bandaraya dan perbandaran.

Manakala di dalam pilihanraya umum tahun 1969, PRM juga pernah memenangi dua kerusi dewan undangan negeri di Pahang dan satu kerusi dewan undangan negeri di Pulau Pinang.

Akan tetapi, disebabkan oleh sekatan demi sekatan, serta propaganda yang memburukkan keududukan fahaman berhaluan kiri dan dianggap sebagai sebuah parti ala-komunis oleh kerajaan Perikatan (kini Barisan Nasional – BN) pada masa itu, serta ramai di antara pemimpinnya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan ada yang diugut, pengaruh PRM mulai menurun dan selepas itu tidak dapat memenangi sebarang kerusi di parlimen dan dewan undangan negeri sehinggalah kini.

Namun demikian, walaupun tidak mempunyai perwakilan terpilih di parlimen dan dewan undangan negeri sehingga pada hari ini, PRM masih tetap unggul dan terus bersama rakyat, untuk meneruskan hasrat murni mereka yang belum tercapai iaitu ke arah perjuangan adil, saksama, progresif dan bersatu untuk masyarakat Malaysia.

PRM, dalam era baru

PRM yang dipimpin oleh presiden partinya yang baru Dr Rohana Ariffin kini giat menjalankan aktiviti khidmatnya di peringkat akar umbi, di beberapa buah kawasan parlimen yang pernah diwakilinya bagi menangani pelbagai masalah dan cabaran yang dihadapi oleh rakyat jelata.

Selain daripada itu, PRM juga bekerjasama rapat dengan beberapa buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang perjuangannya seiringan dengan fahaman parti itu bagi merealisasikan matlamatnya untuk melihat suatu masyarakat yang adil, saksama, progresif dan bersatu padu.

Usaha dan khidmat murni PRM tersebut turut mendapat perhatian dan pengiktirafan beberapa buah parti pembangkang yang bergabung di bawah Pakatan Rakyat iaitu DAP dan PAS apabila para pemimpin PRM sering dijemput untuk menghadiri persidangan tahunan DAP dan PAS.

Komitmen PRM turut terbukti dengan penglibatan aktif parti tersebut di beberapa siri perjuangan yang menuntut keadilan dan kebajikan untuk rakyat, seperti di perhimpunan Bersih (Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil), Himpunan Hijau (perhimpunan yang menentang pembinaan kilang pelupusan sisa toksik di Gebeng, Pahang) serta banyak lagi perjuangan yang memanfaatkan rakyat jelata seperti sosio-ekonomi, pendidikan, buruh, hak asasi manusia dan hak kesamarataan di kalangan masyarakat.

Adakah Umno ini pembangkang berkesan?

Di dalam pilihanraya umum tahun 2008 yang lalu, kita telahpun melihat Pakatan Rakyat yang meliputi gabungan PKR, DAP dan PAS telah berjaya meretakkan kekuatan BN dengan pengurangan majoriti dua pertiga BN di parlimen serta menewaskannya di beberapa buah negeri seperti Kedah, Selangor, Perak dan Pulau Pinang, di samping mengekalkan kedudukannya di Kelantan.

Dengan tertubuhnya kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Kedah, Selangor, Perak (tumbang pada Februari 2009 berikutan rampasan kuasa Umno) dan Pulau Pinang, kita telahpun melihat bagaimana Umno mengambil peranannya sebagai pembangkang di negeri-negeri tersebut.

Selaku pembangkang di negeri-negeri yang pernah dikuasainya selama beberapa dekad, Umno sememangnya masih tidak dapat menerima hakikat yang para ahli-ahli dewan undangan negerinya terpaksa berada di kedudukan yang bertentangan dengan kerusi kerajaan negeri.

Sebagai pembangkang di negeri-negeri tersebut, Umno gagal menunjukkan kematangannya di dalam politiknya secara profesional.

Jika di negeri Perak, Umno menggunakan cara dan helah yang begitu kotor dan jijik dengan memebelanjakan sejumlah besar wang rakyat untuk memeras-ugut, merasuah, menipu dan mengancam bagi mendapatkan semula kuasa di negeri tersebut.

Manakala di negeri-negeri Selangor dan Pulau Pinang umpamanya, Umno asyik menggunakan isu-isu perkauman, agama Islam dan Raja-raja Melayu (3R – Race, Religion and Rulers) untuk mengancam kedudukan dan kestabilan kedua-dua kerajaan negeri tersebut.

Di negeri Kedah pula, Umno akan mempergunakan sekutu Bnnya iaitu MCA dan Gerakan untuk mempersendakan kerajaan negeri pimpinan PAS itu dan menghasut rakyat bukan beragama Islam yang kononnya hukum hudud dan undang-undang Syariah yang kononnya akan berlaku tidak adil, menyeksa dan membawa pelbagai masalah kepada masyarakat bukan Islam di negeri tersebut.

Cara Umno yang berperanan sebagai pembangkang di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat ini hanya bertumpu kepada politik perkauman yang bertujuan untuk membangkitkan api kemarahan, kebencian dan ketidakstabilan di kalangan rakyat yang bakal tidak akan membawa sebarang manfaat kepada rakyat jelata.

Jadi, hasil bangkangan Umno yang sedemikian akan menjejaskan kestabilan dan ekonomi negeri-negeri tersebut, seterusnya membawa kepada lebih perasaan syak-wasangka di kalangan masyarakat yang berbilang kaum yang boleh mengakibatkan perpecahan di masa yang terdekat.

Adakah ini yang kita inginkan? Adakah Umno memainkan peranannya sebagai memeriksa dan mengimbangi (check and balance) bagi memastikan kesinambungan pentadbiran di dalam kerajaan-kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat? Nampaknya tidak, kerana sehingga pada hari ini Umno masih sibuk dengan urusan untuk memecahbelahkan perpaduan kaum, menyemarakkan api kemarahan dan kebencian.

Oleh itu, adakah Umno ini merupakan pembangkang yang berkesan untuk negara kita ini?

PRM berperanan untuk menjadi pembangkang baru

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh ahli dewan undangan negeri Selangor kawasan Subang Jaya, Hannah Yeoh baru-baru ini, BN tidak dapat menjadi kerajaan yang sempurna, malah menjadi pembangkang pun gagal sama sekali.

Sebagai pembangkang, Umno gagal menumpukan perhatiannya terhadap isu-isu utama berkait dengan masyarakat seperti ekonomi, pendidikan, pengangkutan awam, inflasi, kesihatan, pekerja dan pembenterasan rasuah.

Oleh itu, PRM perlu memikul tanggungjawab tersebut untuk membentuk dan mengetuai satu barisan pembangkang baru yang profesional jika sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menerajui kerajaan persekutuan di Putrajaya pada pilihanraya umum yang akan datang.

Biarkanlah Umno dan BN berkubur sekaligus kerana terbukti mereka gagal berperanan dengan sempurna sebagai pembangkang.

Pakatan tidak perlukan majoriti dua pertiga

Menurut ketua umum PKR yang juga ketua pembangkang parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pakatan Rakyat tidak memerlukan majoriti dua pertiga untuk memerintah negara ini dan sebaliknya hanya mengharapkan majoriti mudah.

Ini adalah kerana, menurut beliau, majoriti yang terlalu kukuh itu akan membawa kepada kerakusan dan ketamakan pemerintah, jadi peranan pembangkang adalah masih diperlukan bagi mamainkan peranan “check and balance” terhadap pemerintah di dalam pelbagai soal yang berkepentingan seperti ekonomi, pendidikan, pengangkutan awam, inflasi, kesihatan, pekerja dan pembenterasan rasuah.

Di samping tidak lagi sesuai untuk menjadi kerajaan, Umno dan BN juga tidak sesuai untuk menduduki kamar pembangkang baik di parlimen mahupun di dewan-dewan undangan negeri oleh kerana politik jijik 3R yang sehingga kini masih menghantui pemikiran politik mereka dan ini menunjukkan yang kematangan politik mereka langsung tidak wujud walaupun Umno dan BN telah memerintah negara ini selama lebih daripada 50 tahun.

Wujudkan barisan pembangkang baru

Adalah menjadi tanggungjawab setiap pengundi di negara ini bagi memastikan keseimbangan kuasa politik kerajaan dan pihak pembangkang di dalam parlimen dan dewan-dewan undangan negeri.

Oleh yang demikian, PRM perlu dikembalikan ke parlimen dan dewan-dewan undangan negeri untuk mengambil peranan sebagai pembangkang. Di samping PRM, turut perlu diberikan peluang adalah Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Reformasi Negeri (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP), serta parti-parti lain yang tidak mempunyai kaitan dengan Umno dan BN.

Umno dan BN telah lebih daripada 50 tahun memerintah dan sehingga kini telah gagal menangani pelbagai masalah serius yang melanda negara ini seperti rasuah, salahguna kuasa, politik wang, inflasi, ketidakstabilan ekonomi dan sebagainya. Apabila diberi pula peluang untuk berperanan sebagai pembangkang di beberapa buah negeri, prestasi mereka adalah lebih buruk daripada dijangka apabila mereka hanya bertumpu kepada kemarahan, kebencian, hasad dengki dan dendaman.

Jadi, tibalah masanya kita memikir semula masa depan politik negara ini di luar petak dengan mengundi memasukkan semula PRM ke dalam parlimen dan dewan-dewan undangan negeri. Selain PRM, kita juga berilah peluang kepada PSM, KITA, STAR dan SAPP untuk bersama-sama mewujudkan satu barisan pembangkang yang baru apabila Pakatan Rakyat menerajui Putrajaya nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.