Ahad, 1 April 2012

Keluhan kaum nomad dalam bandar

Soh Sook Hwa


Saya mempunyai pengalaman berpindah rumah tidak kurang dari lapan kali sejak tujuh tahun kebelakangan ini. Dengan kata, lapan kali saya memasukkan buku, dokumen, majalah, baju, dan pelbagai peralatan yang menyarat bilik saya ke dalam kotak, dan kemudian dikeluarkan untuk memenuhi bilik yang lain.

Macam-macam punca saya berpindah rumah. Boleh jadi anak tuan rumah saya pulang dari luar negeri kerana tamat pengajian, dan rumah saya perlu dikosongkan untuk anaknya; boleh jadi harga rumah telah melonjak ke tahap yang memuaskan, dan tuan rumah memutuskan untuk tidak lanjutkan kontrak dan mahu menjual rumahnya; boleh jadi rakan serumah saya atau diri saya bertukar kerja - maka terpaksalah saya meninggalkan kediaman yang asal.

Tetapi punca pokoknya, saya tidak memiliki rumah saya sendiri. Dan saya juga tidak mempunyai ibu bapa yang berharta, atau mampu mengosongkan satu unit rumah untuk saya. Jadi, saya ditakdirkan untuk menjadi nomad yang berpindah-pindah dari sana ke sini.

Langkah harga rumah melonjak terlalu pantas

Untuk tinggal di sebuah bandar kepulauan, dengan harga satu unit apartment seluas 700 kaki persegi mencecah RM300 ribu, berpindah-pindah hampir menjadi sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Ini kerana macam mana mesin kira-kira ditekan sekalipun, anda tidak kesampaian untuk mendapatkan rumah yang mana pinjaman itu terdaya ditanggung. Setiap bulan kita asyik menganggap diri kita rugi dengan sewa rumah yang dibayar. Ini kerana jumlah sewa yang dibayar bukan angka yang kecil jika dilonggokkan - namun kita tetap tidak memiliki apa-apa selepas beberapa tahun.

Jadi ramai yang bekerja keras mencari wang, menabung dan mengikat perut untuk memiliki sesebuah rumah. Setelah berjaya mengumpul jumlah wang untuk bayaran pertama, maka rumah dicari dengan tergesa-gesa. Gembira kerana dinaik taraf menjadi pemilik rumah, padahal satu beban lagi ditambah ke atas bahu - selain hutang pinjaman kereta, hutang kad kredit dan hutang PTPTN yang bakal menghalang anda keluar negeri pada bila-bila masa.

Kepantasan lonjakan harga hartanah jauh lebih tinggi daripada kepantasan menabung, jadi usahlah berkhayal untuk memiliki rumah yang mempunyai halaman. Jikalau enggan berhimpit di apartment yang sempit, maka perlulah anda berhimpit dalam kesesakan jalan raya ketika berulang-alik dari rumah di luar bandar ke pejabat di pusat bandar. Mereka yang enggan sesak nafas terhimpit dalam kereta, maka terpaksalah mencari rumah dengan keluasan ruangannya yang boleh dikira dengan unit kereta. Kalau terjatuh benda ke atas lantai pada tengah malam, bunyinya mampu mengejutkan jiran.

Sepatutnya, kepesatan perkembangan hartanah ada batasnya. Pada ketika pasaran merudum, ia tidak akan lagi melonjak. Kalau pun melonjak, magnitud lonjakan itu akan mengecut. Tetapi proses urbanisasi telah menjurus kepada pemusatan buruh di bandar untuk mencari rezeki. Maka keperluan perumahan melonjak. Harga hartanah kekal biarpun suasana ekonomi meleset. Maka pelaburan pada hartanah melonjak di sebaliknya. Mereka yang perlukan kediaman mencari rumah, mereka yang telah memiliki rumah akan membeli dua unit lagi sebagai pelaburan. Apakah mungkin harga perumahan tidak meningkat?

Di bandar kepulauan, banyak rumah yang habis dijual pada peringkat awalnya, namun kadar penghunian tidaklah tinggi sangat. Selepas tempoh tertentu, apabila harga rumah meningkat, maka kelihatan papan "For Sale" pada rumahnya.

Saya agak naif dalam hal kewangan ketika zaman kanak-kanak. Saya tidak faham mengapa orang dewasa sanggup memberi peluang untuk bank mengaut untung dengan bunga yang dikenakan, tetapi tidak menyimpan wang sehingga jumlah yang cukup, barulah dibeli rumah. Dalam ekonomi pasaran, rupa-rupanya masa itu wang. Semua orang mengaut di pasaran bukan mengikut keperluan. Kepantasan anda menabung tidak akan menandingi kepantasan peningkatan harga rumah, gagal menyaingi kemampuan korporat.

Oleh itu, keuntungan mengatasi segala-galanya. Golongan menengah bawah tidak dipandang berat keperluannya. Atas tanah yang sama, lebih untung untuk pemaju jika dibina rumah yang mahal. Usahlah bimbang, pelabur tetap akan masuk untuk membelinya.

Perancangan bandar

Tanah adalah pasaran. Mustahil tanah dilihat sebagai hak asasi. Tak kiralah, jika tiga keturunan kerabat anda bertani dan membina rumah anda di situ, malah membawa pembangunan di pinggiran kawasan kediaman anda. Namun apabila harga tanah meningkat, maka anda akan menjadi penceroboh tanah orang lain. Kemudian anda akan dihalau jentolak. Sesungguhnya mereka akan berunding dengan anda. Dan kemudian anda perlu bergelut dan bertempur. Barulah anda dapat sedikit wang untuk memberi laluan kepada mereka. Jikalau tidak, anda akan dituduh menghalang kemajuan negara atau pembangunan bandar.

Tetapi, makna pembangunan bukan lampu neon yang berwarna-warni, dan bukan juga bangunan menara yang mencakar langit. Saya gagal merasai kebanggaan atau keangkuhan kegemilangan bandar ini, tatkala saya berhempas-pulas di celah-celahnya untuk soal nasi, garam dan gula.

Perancangan bandar kita serba kurang. Khalayan terhadap pemaju yang terlebih. Seperti biasa, pegawai hanya bertindak secara pasif. Mereka hanya menyemak projek yang dikemukakan pemaju berdasarkan undang-undang yang ada. Mereka hanya mampu melaungkan slogan ketika berdepan dengan soal perancangan bandar secara keseluruhan, tanpa perancangan yang konkrit. Maka perancangan bandar terus didominasi pemaju. Pemaju dengan sendiri menggariskan sempadan pembangunannya, tiada penyelarasan di antaranya.

Justeru itu, LRT, komuter mahupun monorel kemudiannya, hanya disambung selepas belasan tahun, untuk memenuhi keperluan pengguna. Pada hakikatnya, sistem pengangkutan awam seharusnya telah diselaraskan sejak awal lagi dalam perancangan.

Model pembangunan


Dalam kederasan arus pembangunan yang berasaskan ekonomi pasaran, anak mudanya bukan bagai matahari pada waktu pagi - ceria, segar dan sarat dengan idealisme. Sebaik melangkah keluar dari kampus, PTPTN akan menghantar surat untuk mengenalpasti statusnya sebagai penghutang. Berdepan dengan sistem pengangkutan yang bercelaru, maka terpaksalah mereka membuat pinjaman untuk membeli kereta, maka menambah lagi kepanjangan kesesakan di jalan raya. Kemudian menabung untuk mencuba nasib sama ada mampu membeli apartment kecil, yang tidak terlalu jauh dari tempat kerja. Aktiviti riadah yang dimaksudkan adalah berjaga-jaga di depan komputer, agar sempat membeli tiket kapal terbang yang murah untuk melancong.

Semua orang memainkan peranan sebagai skru dalam masyarakat ini, menyesuaikan diri dengan pusingan roda. Semua orang mengeluh, "Tengoklah dulu" untuk masa depan. Kemarahan meluap-luap apabila melihat keborosan kerajaan dan perasuah. Kita memaki kerajaan ini, sama ada ketika turun ke jalan raya mahupun berbisik-bisik dalam hati.

Tanpa diragui, barisan pembangkang kini menumpang kemarahan rakyat untuk menjadi harapan generasi muda. Namun, adakah model pembangunan yang didominasi keuntungan ini akan berubah? Semestinya saya tidak begitu naif untuk percaya bahawa Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Jacob George tidak mempunyai agenda politik apabila datang ke Pulau Pinang dari jauh, hanya untuk mengadakan sidang media, menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri pertama untuk penilaian prestasi kerajaan. Saya juga tidak menganggap Pulau Pinang hanya mendapat 4 markah, jika dibandingkan dengan negeri lain. Semestinya saya akan menggunakan undi saya itu untuk mengucapkan "Selamat Tinggal" kepada Barisan Nasional.

Namun, tetap saya simpan harapan saya, bahawa setelah kerajaan ditukar, rakyat bukan sahaja mendapat bonus yang diberikan oleh kerajaan tiap-tiap tahun, tetapi juga menggunakan tanah di bandar kita dengan baik, merancang pembinaan rumah dengan baik untuk memanfaatkan golongan menengah dan bawah yang bekerja.

Barulah soalan matematik ekonomi kita tidak diakhiri dengan jawapan negatif.

*Soh Sook Hwa ialah AJK Pusat Parti Sosialis Malaysia, dan setiausaha di cawangan Bayan Baru. Beliau pernah mencabar AUKU di mahkamah, tetapi gagal. Tulisan ini disunting dan diterjemah dari teks asal yang disiarkan pada 26 Mac 2012.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.