Menyifatkan
perhimpunan BERSIH 3.0 esok sebagai hari negara akan diuji, Menteri
Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kerajaan telah
melakukan segala-galanya untuk menghadapi apa jua yang akan berlaku.
"Kita akan diuji esok dan semua orang perlu bertanggungjawab.
Adakah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak melakukan
secukupnya untuk menunjukkan beliau serius membawa pembaharuan?
"Esok adalah hari yang besar, tetapi hati nurani saya jelas. Saya telah
lakukan semua yang saya boleh sebagai Menteri Dalam Negeri dan Najib
telah melakukan semua yang beliau boleh untuk membawa pembaharuan," kata
Hishammuddin dalam satu taklimat media khas di ibupejabat polis Bukit
Aman petang ini.
Bercakap kepada kira-kira 30 editor akhbar, beliau berkata, apa-apa jua
boleh berlaku esok dan NGO-NGO tulen yang mahu mendapat manfaat daripada
pembaharuan yang dibawa oleh perdana menteri, akan rugi terutamanya
jika ahli politik merampas perhimpunan BERSIH 3.0.
Tindakan polis esok, tambahnya, akan bergantung kepada apa yang
penganjur BERSIH 3.0 putuskan pada hari protes dan bergantung kepada
keadaan.
Hishammuddin berkata, beliau agak kecewa kerana menurutnya BERSIH
nampaknya menolak setiap peluang yang telah diberikan kepada mereka.
Beliau merujuk lokasi alternatif yang ditawarkan oleh Dewan Bandaraya
Kuala Lumpur (DBKL) kepada BERSIH untuk mengadakan perhimpunannya esok.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak membenarkan BERSIH 3.0
diadakan di Dataran Merdeka tetapi pihak penganjur perhimpunan itu
bertegas untuk mengadakan perhimpunan duduk bantah di situ.
Bagaimanapun, berikutan perintah mahkamah yang diperolehi oleh pihak
polis awal hari ini melarang semua pihak berkumpul di dataran bersejarah
itu, maka penganjur BERSIH 3.0 berkata mereka akan mematuhinya tetapi
akan cuba berada seberapa hampir yang mungkin ke Dataran Merdeka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.