Sidiqin Omar
KUALA LUMPUR: Duduk Bantah pada perhimpunan Bersih 3.0 di Dataran
Merdeka Sabtu ini, adalah mega sejarah kepada negara ini, kata Pengerusi
bersama Bersih 3.0, Datuk A Samad Said.
“Duduk Bantah bukan cebisan sejarah, bahkan ia adalah mega sejarah,”
kata Sasterawan Negara itu ketika ditemu bual aktivis sosial,
Hishamuddin Rais di konti Radio Bangsar Utama, malam tadi.
Radio Bangsar Utama
adalah radio internet bertema Berani Langgar, Laporan Jelas yang
diwujudkan baru-baru ini, sempena Bersih 3.0 dan Pilihan Raya Umum (PRU)
13.
Mesra dengan panggilan Pak Samad, beliau percaya himpunan itu sememangnya menjadi hasrat majoriti rakyat Malaysia.
“Selama 54 tahun pilihan raya di negara ini – landasnya tidak betul.
Ya, Bersih 3.0 lebih payah untuk ‘dilanggari’ (pemerintah),” katanya
yang optimis dengan sokongan padu rakyat.
Ditanya
pengalaman menyertai demontrasi ketika muda, beliau mendedahkan
pengalamannya menyertai perhimpunan menyelamatkan akidah Natrah Hertogh
dalam usia lingkungan 20 tahun di Singapura pada 1950.
“Saya tidak punya peranan besar tapi saya ikut, dan sangat
bersemangat,” kata penulis novel Salina, Hujan Pagi dan banyak lagi
karya terkenal.
Sasterawan Negara berusia 77 tahun itu turut menegur golongan seniman
yang ‘diam’ dan tidak mahu menempatkan diri dalam perubahan.
“Sasterawan menggunakan penulisan. Dan puisi sudah jadi senjata dan
peluru. Kalau hanya merakam (sejarah), takkan sampai ke mana-mana,”
katanya .
Katanya, seniman tidak wajar memencilkan diri dari perjuangan
menegakkan sistem demokrasi, sebaliknya harus berdiri di barisan depan
bersama rakyat.
“Seniman wajar ada di tengah-tengah gelora masyarakatnya,” katanya
dalam temu bual kira-kira sejam dan turut mendeklamasi sajak ‘Merindu
Ruang’.
Pak Samad yang memetik nama beberapa penulis besar dunia, berkata
penyertaan seniman dalam perhimpunan dan bantahan bukanlah perkara baru,
sebaliknya berlaku di seluruh dunia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.