Sabtu, 28 April 2012

BERSIH 3.0 hak milik rakyat Malaysia 100%

 Oleh Hafiz Zainuddin


Esok ( 28 April ) adalah hari kita berkumpul beramai-ramai untuk menuntut pilihan raya yang adil, bersih dan bebas. Berhimpun secara aman adalah hak demokratik rakyat Malaysia yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Malangnya kerajaan UMNO-Barisan Nasional yang masih menyangka ia adalah tuan besar kepada semua rakyat enggan membenarkan perhimpunan aman BERSIH 3.0 diadakan secara aman.

Selama ini kita adalah rakyat yang sentiasa “terpaksa”. Terpaksa berhadapan dengan apa sahaja dasar kerajaan UMNO-BN sama ada ia menguntungkan atau merugikan rakyat.

Untuk itu berhadapanlah kita sendirian dengan kenaikan harga barang, jenayah, kebanjiran warga asing tanpa izin, gaji yang tidak naik-naik, pengangkutan awam yang semakin buruk, lambakan graduan menganggur dan sebagainya.

UMNO-BN cipta masalah, kita yang tanggung sendiri

Ini semua kita kena tanggung sendiri. Malah, ramai antara kita tidak sedar masalah ini berpunca daripada pemerintahan yang korup dan zalim – korup kerana penuh dengan penyelewengan, salah guna kuasa, rasuah dan ketirisan; zalim kerana segala kebobrokan ini tidak disiarkan dalam media massa – kerana dikawal oleh kerajaan UMNO-BN – dan disembunyikan daripada kita yang sedang sengsara dengan kesan tekanan ekonomi hasil kegagalan dasar dan pelaksanaan pemerintah.

Sebab itu dasar kerajaan penting untuk kita ketahui. Ia sama pentingnya dengan ketelusan kerajaan melaksanakan dasar tersebut. UMNO-BN terbukti tidak melaksanakan dasar mereka – walau pun ada dua, tiga dasar yang baik – dengan adil dan baik.

Apabila datang pilihan raya, ramai antara kita yang lupa dengan kegagalan dasar-dasar serta pelaksanaannya oleh kerajaan UMNO-BN. Kita lebih mudah digamit dengan isu-isu warna kulit, isu-isu sentimen tertentu.
Dan kita terus terjebak untuk memilih kerajaan yang sama berulang-ulang kali kerana kita mudah menelan fitnah dan propaganda UMNO-BN yang disiarkan saban waktu di kaca TV, di ruang udara radio dan di muka-muka akhbar yang semuanya mereka kuasai sepenuhnya.

Telah lama nenek moyang dan ibu bapa kita memberi peluang kepada UMNO-BN untuk memerintah dan menyalahgunakan kuasa. Yang perit menanggung adalah kita.

Namun, kita masih baik hati. Kita rayu UMNO-BN untuk berubah. Ada beberapa kerat pemimpin mereka berjanji untuk berbuat demikian. Tetapi hingga saat ini, bukan sahaja janji dimungkiri, malah mereka menjadi semakin zalim dan angkuh dengan kemabukan kuasa. Dan mereka lakukan itu semua atas nama kaum dan agama.

Kasihan kita

Kini semakin ramai antara kita sudah sedar. Kita mahu buat perubahan. Kita sudah tidak percaya lagi dengan janji-janji UMNO-BN.

Malah, pimpinan UMNO-BN juga sedar hasrat murni kita sebagai rakyat. Maka itu mereka memilih jalan yang lebih kotor. Selain menguasai media dan jentera kerajaan, mere bertindak melakukan pelbagai penyelewengan dan ketidakadilan dalam pilihan raya seperti penipuan undi pos, pengundi hantu, projek IC, mengubah pengundi, dan sebagainya. Semua ini punya bukti yang kukuh.

Telah lama kita idamkan sebuah negara yang adil, demokratik dan bebas.

Mungkin ada yang berkata, apa yang tidak adilnya kerajaan? Negara ini aman dan kaya. Tidak ada perang saudara, tidak hidup melarat penuh dengan pengemis merata-rata, kata mereka.

Dari satu sudut, ada logiknya hujah sedemikian walau teramat rapuh alasannya. Jika benar kerajaan UMNO-BN itu baik, adil dan saksama, mengapa kita sendiri merungut dengan kenaikan harga barang, marah dengan gaji yang tidak naik, sakit hati apabila dikenakan cukai perkhidmatan, meluar bila kena bayar hutang PTPTN, hutang kereta, hutang rumah, dan kecewa apabila tdiak mampu mendapat rawatan perubatan yang sempurna?

Dalam siksaan hidup sebegini, apakah ada antara kita yang tumpang gembira apabila ada keluarga menteri boleh hidup mewah dengan menyalahgunakan wang rakyat yang sepatutnya digunakan untuk menternak lembu? Daging lembu entah ke mana, rakyat tak dapat cukup bekalan daging tapi keluarga menteri tersebut senang-lenang dengan kondominium mewah, pasararaya di luar negara dan dapat pula tanah.

Begitu juga dengan kononnya cerita cincin bernilai berjuta ringgit milik isteri seorang pemimpin besar. Apakah kita seronok dan bangga dalam keadaan hidup kita yang dihimpit tekanan hutang, pinjaman bank, wang saku anak-anak sekolah yang semakin meningkat dan sebagainya?

Kita selayaknya mendapat jauh lebih baik dari apa yang ada sekarang.  Segala penderitaan dan masalah yang kita hadapi semua ini adalah akibat salah urus dan penyelewengan kerajaan UMNO-BN. Kita sebagai rakyat kita perlu betulkan dasar dan pelaksanaan ini.

Kita perlu betulkan kerajaan. Kita kena bertegas kerana Malaysia adalah milik kita bersama. Sebab itu kita kena cuci segala sampah-sarap yang ada dalam negara ini.

Tuntutan BERSIH adlah tuntutan rakyat, bukan parti politik

Dengan memenuhi segala tuntutan BERSIH, maka kita sebagai rakyat akan sedar bahawa hanya kita sendiri yang mampu membuka ‘pintu’ untuk era baru tanpa perlu mengharapkan janji-janji politik yang amat jarang ditunaikan.

Tuntutan BERSIH:
1. Bersihkan senarai undi (Daftar Pemilih)
2. Reformasikan undi pos
3. Gunakan dakwat kekal
4. Akses media yang bebas & adil
5. Tempoh berkempen minima 21 hari
6. Kukuhkan institusi awam
7. Hentikan rasuah
8. Hentikan politik kotor

Pilihan raya yang bersih, adil dan bebas memang tidak mampu menjanjikan kehidupan yang mewah dan makmur. Tetapi ia dapat menjanjikan titik permulaan ke arah keadilan, ketelusan dan hak rakyat yang sebenar untuk menentukan hala tuju negara.

Demokrasi bererti kuasa di tangan rakyat. Jika kuasa ini dibiarkan jatuh ke tangan orang lain – segelintir elit pemerintah – selama itulah nasib kita seperti kerbau dicucuk hidung.

Masa telah sampai untuk kita melakukan apa yang sepatutnya kita lakukan dahulu. Kita sebagai rakyat telah lama bersabar. Dan selama itu juga kita hanya ditabur janji-janji palsu dan fitnah.

Oleh itu, demi Malaysia yang demokratik dan sejahtera, kita harus raikan iltizam ini. Esok jam 2 di Dataran Merdeka dan di mana-mana sahaja di bumi bertuah ini serta di seantero dunia, ayuh! kita bersihkan Malaysia! – Roketkini.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.