SHAH ALAM : Jabatan Perhutanan Selangor (JPS) mengambil beberapa langkah yang proaktif bagi menangani masalah kecurian kayu bakau setelah lesen pengusahasilan kayu bakau ini ditamatkan pada 1 Julai 2010.
JPS merekodkan sehingga 29 Februari 2012 tiada sebarang kecurian kayu bakau dalam kawasan Hutan Simpan Pulau Ketam dengan tertangkapnya seorang warganegara Malaysia yang menjadi ketua sindiket di Pulau Ketam pada tahun 5 Mei 2010.
Sehubungan itu, JPS melaksanakan operasi bersepadu bersama Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Gerakan Marin PDRM Selangor, dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dengan menambah kekerapan rondaan di 25 hutan simpan paya laut persisir pantai dan kawasan pulau.
Selain itu, JPS juga melakukan rondaan enam kali melalui udara setahun dan turut menempatkan kakitangan JPS di jeti-jeti bagi memeriksa kayu bakau yang di import dari Indonesia dan negeri-negeri lain.
Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna, dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong berkata demikian ketika menjawab soalan dari ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib berkaitan pengurusan Hutan Paya Laut di Selangor.
Elizabeth turut berkata, selain pemasangan papan tanda di sepanjang hutan simpan, JPS juga melaksanakan kempen kesedaran tanaman bakau dengan kerjasama korporat, NGO dan orang awam.
“Tindakan pemasangan tanda ini adalah sebagai salah satu kaedah untuk memaklumkan kepada masyarakat tentang kewujudan hutan simpan,” ujar beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.