SHAH ALAM - PKR berjanji akan membatalkan perjanjian berat sebelah melibatkan kos pembayaran elektrik rakyat di negara ini dan akan menurunkan kadar kos sara hidup setelah menjadi pemerintah di negara ini.
Pengarah Strateginya, Mohd Rafizi Ramli berkata, konsesi berat sebelah melibatkan elektrik di Malaysia zalim kerana tarifnya lebih mahal berbanding negara Thailand yang tidak memberikan subsidi terhadap barangan asas itu.
“Ia terjadi kerana penjana tenaga bebas (IPP) mengaut untung berbanding Tenaga Nasional Bhd (TNB) yang terpaksa beli dengan harga mahal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai harga barang pada Wacana Sinar Harian Siri ke-12 di sini, semalam.
Ditanya mengenai harga pasir dijual mahal di negeri Selangor, Rafizi menegaskan ia berlaku kerana sejak kebelakangan ini permintaan pasir tinggi menyebabkan harganya naik mendadak.
“Ada pihak mengaitkannya dengan beberapa pemimpin di negeri Selangor didakwa terlibat rasuah tetapi sehingga sekarang mereka tidak dibawa ke mahkamah kerana dakwaan itu tidak mempunyai bukti.
“Ia disebabkan syarikat pasir di Selangor tidak terlibat dengan rasuah dan pemimpin itu tidak didakwa sehingga kini kerana syarikat itu menempatkan dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk kawal selia aktiviti pasir,” katanya.
Rafizi berkata, ia membuktikan PKR telus mengawal dan membanteras rasuah berbanding Umno yang hanya bercakap tetapi tidak melaksanakannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.