Bekas ketua wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz berkata beliau bimbang sekiranya kempen yang dijalankan pergerakan itu tidak akan dapat memberi kesan dalam pilihan raya akan datang.
Katanya, beliau tidak mahu melihat wanita sekadar menjalankan kerja secara acuh tidak acuh sahaja – usaha yang disifatkannya sebagai "touch and go."
Kenyataannya itu timbul ketika beliau giat melancarkan kritikan ke atas ketua pergerakan itu, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang kini dilanda kontroversi ekoran skandal melibatkan National Feedlot Corporation yang diusahakan keluarga Shahrizat.
"Saya tak jadi ketua pun, saya masih juga risau mengenai Wanita Umno," katanya yang bimbang sekiranya anggota Umno di peringkat akar umbi akan terpisah daripada realiti yang berlaku.
Tambahnya, anggota Wanita Umno tidak perlu membuang masa untuk menyertai demonstrasi dan perhimpunan.
Sebaliknya, jentera pergerakan itu perlu bekerja keras untuk menjelaskan isu, terutama kepada anggota Umno sendiri.
"Tolonglah buat kerja kat bahagian (kerana) pilihan raya umum ini penting.
Katanya, Wanita Umno perlu bekerja keras untuk menjalankan program kunjungan rumah ke rumah seperti yang dijalankan pergerakan itu sebelum ini..
"Semak sifat pengundi, sikap pengundi, semak pengundi, pergi jumpa dia kat rumah dia macam kita buat berpuluh-puluh tahun yang berjaya kita buat tu.
"Jangan kita rambang saja kata ‘oh, nampak OK semua.’ Tidak," katanya lagi yang menegaskan bahawa beliau berkata demikian demi memastikan BN menang dalam pilihan raya akan datang.
Ditanya lanjut mengenai bacaannya untuk pilihan raya akan datang, Rafidah berkata BN akan mencatat prestasi lebih baik daripada 2008.
"Tapi jentera parti mesti bekerja," tegas ahli parlimen Kuala Kangsar itu lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.