Selasa, 27 Mac 2012

Pimpinan baru Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM)

Oleh: Masdar Wahid


KUALA LUMPUR : Mangsa keganasan polis yang mengetuai himpunan pro-kebebasan akademik di depan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim pada malam 1 Januari lalu, Muhamad Safwan Anang @ Talib kini dilantik mengetuai Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).

SMM dalam satu kenyataan memaklumkan, Safwan menggantikan Ahmad Syukri Abd Razab yang sudah mengetuai SMM sejak setahun lalu.

“SMM yang mempunyai gabungan gerakan mahasiswa peringkat nasional sepakat dalam menyuaratnya 24 Mac 2012 melakukan pemilihan kepimpinan baru bagi sesi 2012/2013 yang sebelum ini diterajui Ahmad Syukri Abd Razab sebagai pengerusinya selama 1 tahun.

“Oleh demikian, seluruh gerakan yang bernaung di bawah SMM bersetuju melakukan peralihan kuasa kepada kepimpinan baru gerakan SMM pada kali ini,” kata SMM.

Turut dilantik, Haziq Abdullah Abd Aziz dari Universiti Malaya (UM) selaku Setiausaha SMM manakala Adam Adli Abd Halim, mahasiswa yang menurunkan bendera bercetak wajah Datuk Seri Najib Razak sebagai Bendahari persatuan itu.

Ahmad Shukri Kamarudin pula yang kini menuntut di Open University Malaysia (OUM) mengekalkan jawatannya selaku Setiausaha Media SMM.

“Justeru, kepimpinan baru SMM meneruskan agenda perjuangan dengan memberi nafas baru kepada perubahan Malaysia yang lebih konstruktif dan mendokong agenda gerakan ‘Malaysia Bangkit’ yang mendambakan Malaysia lebih sejahtera pada masa mendatang.

“Kepimpinan SMM turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan NGO, aktivis masyarakat, aktivis mahasiswa dan rakan media yang sentiasa membantu serta menyokong usaha perubahan yang dibawa SMM,” kata kenyataan itu lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.