Rabu, 28 Mac 2012

Perihal memaksa kaum bukan-Melayu dengan Bahasa Kebangsaan

Oleh Al-Mustaqeem M Radhi



Sedikit lagi sambungan bagi cerita Muzakarah DBP yang aku tulis dalam pojok ini minggu lepas:

Dalam sesi perbincangan, seorang peserta mengecam bukan-Melayu kerana tidak pedulikan bahasa Melayu, buktinya, ujar peserta itu, tiada bukan-Melayu dalam sesi pertama itu (dia mungkin tak perasan Christine Ling, bekas pembaca berita di RTM yang amat fasih berbahasa Melayu, duduk di seberang sana bulatan dan seorang lagi lelaki bukan-Melayu yang duduk di depan aku, tersenyum simpul). Hampir dalam satu nafas pula dia mengajak DBP kembali menggunakan istilah “bahasa Melayu” dan meninggalkan “bahasa Malaysia”.

Langsung terdetik dalam benak aku, kalau yang dipakai ialah istilah “bahasa Melayu” bagaimana kaum lain hendak memupuk rasa ‘memiliki’ bahasa itu dan bagaimana pula bahasa Melayu yang dipakai di Malaysia akan dapat berkembang dengan memanfaatkan budaya kaum lain sepertimana bahasa Melayu Indonesia berkembang perbendaharaannya dengan, misalnya, bahasa Sunda dan Jawa?

Bagi aku, soal istilah ini tak perlu diperbesarkan. Kalau dipakai istilah “bahasa Malaysia” sekalipun, tiada siapa yang sihat akalnya akan lupa bahawa bahasa Malaysia pada hakikatnya adalah bahasa Melayu. Di Indonesia juga yang dipakai sebagai bahasa utama adalah bahasa Melayu, tetapi disebut sebagai bahasa Indonesia.

Persoalan kedua yang timbul dalam hal ini ialah apakah memadai untuk membuatkan kaum selain Melayu meminati dan seterusnya menyayangi bahasa Melayu jika sekadar atas alasan ia “Bahasa Kebangsaan”? Sekali lagi kita cuba bertenggek pada undang-undang untuk mendaulatkan bahasa. Mengapa misalnya kita tidak bertanya pada diri, apakah bahasa Melayu yang sedang dipertontonkan dalam pelbagai media, dari buku sampai ke papan-papan iklan, cukup kuat daya pikatnya untuk membuatkan kaum bukan-Melayu ingin lebih menguasai bahasa ini.

Aku percaya di sini kita perlu membuang jauh-jauh pendekatan “memaksa” atau “mengancam” dengan undang-undang dan perlembagaan. Pendekatan yang lebih baik dan yang lebih perlu diberikan perhatian besar ialah pendekatan “membujuk”.

Bahasa Inggeris, misalnya, dihargai bukan kerana perlembagaan Amerika Syarikat atau United Kingdom mewajibkan manusia seluruh dunia mempelajari dan menghargai bahasa itu. Bahasa Inggeris ditekuni oleh sebahagian orang kerana mereka mahu menguasai ilmu dan teknologi yang ditulis dalam bahasa itu, manakala sebahagian yang lain mempelajarinya kerana hanya dengan cara itu dia dapat membuka dirinya untuk dipukau oleh Shakespeare.

Maka, antara lain, kita tentunya harus bertanya pada diri sendiri apakah kandungan penerbitan berbahasa Melayu cukup mantap untuk membuatkan kaum lain merasa rugi kalau tidak membacanya. Dalam ungkapan lebih mudah, yang akan menarik orang membaca novel Melayu ialah kandungannya yang amat-sangat-menarik, bukan kerana ia ditulis dalam “bahasa kebangsaan”.

Maka, kita juga perlu menjawab dengan jujur apakah novel Melayu yang ada sekarang walaupun tidak difahami setiap patah katanya tetap dapat memukau orang seperti Moby Dick?

Dari satu segi, kita masih boleh “memaksa”, kalau memang itu ketagihan kita. Cuma, memaksa kali ini dalam bentuk lain: Membuatkan orang merasa terpaksa membaca bahasa Malaysia/Melayu agar tidak terlepas daripada mengetahui kandungannya yang istimewa atau tidak terlepas peluang menikmati gaya bahasanya yang selalu menimbulkan nikmat yang tinggi. -Roketkini.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.