Rabu, 28 Mac 2012

Peneroka berang dengan Pengurusan Felda

Kontraktor yang dilantik Felda gagal menjalankan kerja-kerja dengan baik dan Felda sendiri gagal untuk memantau kerja- kerja kontraktor.



TAMPIN: Seramai 200 peneroka dari Felda Bukit Rokan Utara di sini berang dengan sikap pengurusan Felda yang gagal bertanggungjawab dan menguruskan ladang kelapa sawit mereka dengan sempurna.

Dalam tinjauan FMT ke Tanah Rancangan Felda tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Peneroka Felda Bukit Rokan Utara yang mewakili peneroka tersebut, Said Dalil menjelaskan proses tanaman kelapa sawit dimulakan pada tahun 2004 dan selepas lapan tahun, pokok kelapa sawit yang sepatutnya sudah lama mengeluarkan hasil buah kelapa sawit masih tidak berbuat demikian. Sebaliknya saiz pokok amat kecil.

“Tempoh matang pokok kelapa sawit mengeluarkan hasil ialah selama tiga tahun. Tetapi walaupun usia tanaman kelapa sawit telah mencecah lapan tahun, tetapi ia tidak mampu mengeluarkan hasil.

“Malah saiz pokok kelapa sawit kelihatan seperti baru setahun ditanam. Saya percaya ini semua berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab pengurusan Felda yang tidak menguruskan ladang kelapa sawit ini dengan sempurna.

“Mereka melantik kontraktor untuk menjalankan kerja-kerja menanam, membaja tanaman, ‘pruning’ dan membersihkan ladang kelapa sawit ini.

“Bagaimanapun kontraktor yang dilantik gagal menjalankan kerja-kerja tersebut dengan baik dan Felda sendiri gagal untuk memantau kerja-kerja kontraktor,” jelas Said.

Setiausaha Jawatankuasa Bertindak Peneroka Felda Bukit Rokan Utara, Nizam Ahmad pula berkata apa yang membuatkan beliau dan lain-lain peneroka berang ialah mereka dibebankan dengan hutang yang tinggi walaupun ladang kelapa sawit mereka tidak diuruskan dengan baik dan tidak mengeluarkan hasil.

“Contohnya dalam penyata pendapatan dan perbelanjaan peneroka dari 2004 hingga 2010 saya dikenakan kos meracun sebanyak RM13,182.32. Sementara itu untuk kos baja pula saya dikenakan sebanyak RM17,918.37.

“Dicampurkan dengan bantuan sara hidup sebanyak RM1,400.00 sebulan sepanjang tempoh tersebut dan lain-lain perbelanjaan serta kos, hutang saya dengan Felda adalah sebanyak RM157,932.49 setakat 2010.

Tiada penyata jumlah hutang


“Bermakna jumlah hutang untuk 2011 sehingga 2012 tidak termasuk di dalam penyata ini. Saya ada meminta penyata terkini tetapi tidak diberikan oleh pengurusan Felda Bukit Rokan Utara,” kata Nizam yang juga merupakan anak peneroka.

FMT juga diajak untuk melawat ladang-ladang milik peneroka untuk melihat sendiri keadaan ladang kelapa sawit tersebut.

“Anda boleh melihat sendiri bagaimana keadaan ladang kelapa sawit yang sudah menjadi seperti hutan belantara. Ada sebahagian jalan juga dipenuhi dengan semak.


“Sepatutnya dalam tempoh tahun ini pokok kelapa sawit ini sudah tinggi dan mengeluarkan hasil tetapi anda boleh melihat bagaimana keadaan pokok yang masih kecil dan tidak subur.

“Jika ada pun pokok kelapa sawit yang mengeluarkan hasil, buah kelapa sawit itu tidak dipetik dan dibiarkan busuk,” jelas Nizam lagi.

Di akhir tinjauan, FMT cuba mendapatkan respon daripada pengurusan Felda Bukit Rokan Utara terutama daripada Pengurus Tanah Rancangan Felda tersebut, tetapi Abdul Jalal Ajad dikatakan sedang menunaikan Umrah di Mekah.

FMT juga cuba mendapatkan maklum balas daripada Pegawai Pertanian Felda Wilayah Raja Alias, Mohd Nor Fikri Zulkifli yang baru sampai ke pejabat Felda Bukit Rokan Utara ketika FMT berada di dalam pejabat tersebut.

Walaubagaimanapun Mohd Nor Fikri berkata hanya Abdul Jalal sahaja yang boleh memberikan sebarang maklum balas berhubung soalan yang diajukan oleh FMT.

Apabila ditanya siapakah yang bertanggungjawab untuk menyelia dan memantau kerja-kerja yang dilakukan oleh kontraktor di ladang peneroka, Mohd Nor Fikri berkata itu adalah tugas Pengurus Tanah Rancangan Felda terbabit. Ibu Pejabat Felda Negeri Sembilan terletak di Felda Wilayah Raja Alias yang juga dikenali sebagai Bandar Baru Serting.

Sementara itu Timbalan Pengerusi Biro Felda PKR Pusat, T Kumar pula mendedak Felda melupuskan hutang peneroka yang terbabit kerana masalah tidak menguruskan ladang kelapa sawit dengan sempurna adalah disebabkan kecuaian pengurusan Felda sendiri.

Turut hadir ialah Yang DiPertua PAS Jempol, Zakaria Khalim; Yang DiPertua PAS Jempol, Abdul Rahman Ramli dan Ketua Cabang PKR Jempol, Karip Mohd Salleh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.