Rabu, 28 Mac 2012

Janji hospital: MB Negeri Sembilan perbodoh rakyat Rembau

Oleh Aedi Asri

REMBAU : Ketua Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin menyifatkan janji-janji Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 secara terangan memperbodohkan rakyat kawasan itu.

Beliau merujuk kepada janji Umno BN untuk membina hospital dan lapangan terbang di Rembau yang digunakan sebagai senjata kempen PRU lalu yang sehingga kini belum terlaksana.

Menjelang PRU 2008, calon BN ketika itu, Khairy Jamaluddin mengadakan upacara meletakkan batu asas sempena projek pembinaan Hospital Rembau.

Utusan Malaysia pada 21 Februari tahun yang sama pula melaporkan, Mohamad Hasan berjanji membina lapangan terbang berserta pusat latihan penerbangan di Rembau.

“Ketika PRU 13 semakin hampir, mereka mengumumkan tender akan dibuka pada April ini. Malah, tapak pembinaan dibersihkan dan dinaikkan papan tanda.

“Semua penduduk tahu itu adalah tapak projek yang dijanjikan dahulu. Malah, timbul persoalan apa perlunya kerajaan membersihkan kawasan tersebut, kerana ia sepatutnya dilakukan oleh kontraktor yang dilantik.

“Hospital ini adalah hak penduduk di sini. Rembau adalah satu-satunya daerah yang masih belum mempunyai hospital sendiri,” kata Badrul yang lebih dikenali CheguBard.

Dilaporkan, kos pembinaan hospital ini sebanyak RM100 juta pada 2008 tetapi dijangka meningkat pada tahun ini.

Badrul turut membidas kenyataan Mohamad Hasan berkenaan janji lapangan terbang di Rembau ketika majlis penyerahan wang Bantuan Rakyat 1Malaysia baru-baru ini.

“Secara jenaka, beliau (Mohamad Hasan) mengatakan lapangan terbang yang dibina adalah lapangan terbang mainan di hadapan penduduk Rembau sendiri, sedangkan ianya dijadikan bahan kempen pilihan raya yang lalu.

“Bukankah ini terang-terangan satu penghinaan dan pembodohan terhadap rakyat Rembau,” bidas Badrul Hisham.

Katanya lagi, selagi Umno BN merasa selesa dengan kedudukan mereka, selagi itulah janji pilihan raya tidak akan terlaksana dan hanya sebagai helah untuk membeli undi rakyat Rembau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.