Pakatan Rakyat mengutuk dakwaan terbaru untuk menyemai rasa takut terhadap ancaman Kristian di negara ini, dan mendakwa ia adalah taktik Umno untuk "menakut-nakutkan" majoriti umat Melayu-Islam.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, yang berkuasa di Malaysia adalah Umno yang bertanggungjawab menjaga agama, menjaga kewangan - jadi seandainya dakwaan tersebut benar, tambahnya, maka ia bermakna Umno telah gagal untuk memperkukuhkan iman umat Islam.
Sehubungan itu, tegas Anwar, dakwaan tersebut adalah tidak lain daripada usaha jijik politik untuk menggunakan agama bagi menakut-nakutkan rakyat.
Bercakap dalam sidang akhbar di Parlimen hari ini, Anwar menegaskan bahawa seandainya gerakan itu wujud untuk mengancam akidah umat Islam, maka terdapat tindakan undang-undang yang mencukupi yang boleh diambil.
Beliau mengulaskan surat mengenai seminar yang dianjurkan oleh Jabatan Pelajaran Johor Sabtu ini yang bertajuk 'Pemantapan Aqidah, Bahaya Liberalisme dan Pluralisme Serta Ancaman Kristianisasi Terhadap Umat Islam. Apa Peranan Guru? '
Surat yang ditujukan kepada pengetua dan guru besar sekolah rendah
dan menengah di daerah Johor Bahru itu, memerlukan dua guru agama dari 55 sekolah di daerah untuk menghadiri seminar tersebut.
Sepertimana dakwaan memurtadkan umat Islam sebelum ini, Anwar berkata, pihak berkuasa berkenaan telah gagal untuk mengemukakan buktinya.
Tahun lepas, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu sebuah majlis yang dianjurkan oleh Harapan Komuniti di premis Gereja Methodist Damansara Utama ((DUMC) berdasarkan maklumat yang mendakwa berlakunya perbuatan murtad.
JAIS mendapati 12 orang Islam di kalangan hadirin di situ tetapi pihak penganjur telah menafikan sebarang dakwaan cuba memurtadkan umat Islam, dengan menegaskan bahawa ia adalah majlis makan malam untuk mengumpul dana bagi kumpulan sokongan HIV.
Sebelum kontroversi itu tercetus beberapa pemimpin DAP telah dituduh berkomplot dengan pastor untuk menjadi Kristian sebagai agama rasmi negara.
Sementara itu, Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa, pula mengingatkan kerajaan bahawa adalah tidak wajar untuk "mempolitikkan agama".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.