Jumaat, 30 Mac 2012

200 peneroka bantah penyenaraian Felda di Putrajaya

Oleh: Aedi Asri



PUTRAJAYA : Seramai 200 peneroka menyertai perarakan menyerahkan memorandum bantahan penyenaraian Felda Global Ventures Holding Berhad (FGVHB) di Bursa Malaysia diPutrajaya tengah hari tadi.

Sebaik selesai solat Jumaat, peneroka mula berkumpul di hadapan Masjid Putra, dan berarak menuju Pejabat Perdana Menteri pada pukul 2.55 petang.

Perarakan diketuai antaranya, Pengerusi Biro Felda dan Orang Asal KEADILAN, Suhaimi Said, Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman, Ketua AMK, Shamsul Iskandar, dan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said.

Peserta turut membawa bersama kain rentang sepanjang 100 meter yang dipenuhi tandatangan peneroka seluruh negara yang membantah penyenaraian itu.

Mereka turut membawa kain rentang bertulis “Kami tolak FGHV”, “Selamatkan Felda” dan kain panjang dengan tandatangan orang ramai yang menolak penyenaraian itu.

Laungan “Reformasi” dan slogan anti-Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad berbunyi “Turun Isa Samad” dan “Isa Samad tipu peneroka” turut dilaungkan peserta perarakan.

Sebaik tiba di pintu utama, peserta mendapati pintu pagar utama ditutup dan dikawal beberapa orang polis. Mereka seterusnya bergerak ke pintu pagar berhampiran tempat letak kereta.

Selepas itu, beberapa wakil, termasuk A Samad Said masuk ke dalam bilik pengawal untuk berunding bagi memastikan memorandum sampai ke tangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Rajak.

Kira-kira setengah jam kemudian, memorandum berjaya diserahkan kepada wakil Perdana Menteri kerana Najib menghadiri majlis pemakaman anakanda Sultan Perak, Datuk Seri Raja Ashman Shah ibni Sultan Azlan Shah.

Penyenaraian FGVHB dijangka dilaksanakan April ini mendapat bantahan hebat pelbagai pihak, termasuk peneroka dan Pakatan Rakyat, kerana menghilangkan suara peneroka di bawah Koperasi Permodalan Felda.

Ekoran itu, kerajaan Umno BN melakukan pelbagai cara, termasuk menjanjikan ‘durian runtuh’ kepada peneroka, dengan syarat peneroka menyerahkan salinan kad pengenalan mereka kepada pengurusan Felda.

Felda juga dilaporkan cuba mewujudkan syarikat bertujuan khas (special purpose vehicle) untuk tujuan penyenaraian itu selepas ia mendapat tentangan peneroka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.