SHAH ALAM- Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Abdul Rahman Bakri didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lapan tuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM80,000 ketika menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, empat tahun lalu.
Hakim Azhaniz Teh Azman Teh membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Abdul Rahman, 47, diperintah bela diri pada akhir Jun tahun lalu atas tuduhan menggunakan dokumen peruntukan palsu iaitu Surat ADUN mengandungi butiran bagi tuntutan program dan aktiviti yang tidak pernah dijalankan.
Tuntutan itu membabitkan pembelian hadiah, cenderamata dan jamuan Program Motivasi Pelajar di Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar; Program Mesra Rakyat dan Hari Keluarga di Dewan Simpang 4 Bagan Nakhoda Omar (BNO); Program Forum Perdana Peringkat Mukim BNO; Program Mesra Rakyat dan Sambutan Maulud Nabi dan Program Mesra Rakyat Hari Keluarga Guru Kemas. Semua tuntutan palsu itu membabitkan RM80,000.
Dia didakwa melakukan semua perbuatan itu di Pejabat Daerah Sabak Bernam antara 21 Januari hingga 12 Februari 2008.
Bagi setiap pertuduhan, Abdul Rahman didakwa mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama.
Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, pada prosiding sama, pembantu kepada Abdul Rahman, Rosli Busro, 44, didapati bersalah atas tuduhan bersubahat dengan Abdul Rahman melakukan kesemua kesalahan itu.
Hakim turut membenarkan permohonan peguam bela kedua-dua tertuduh, Affifuddin Hafifi dan Lim Kon Keen untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman terhadap anak guam mereka sehingga esok pagi di mahkamah sama.
Kedua-dua peguam itu berkata, mereka perlukan masa untuk persediaan mitigasi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa.
Seramai 39 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil memberikan keterangan sepanjang perbicaraan kes itu. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.