Rabu, 1 Februari 2012

Pulangkan hak warga KL memilih Datuk Bandar kami sendiri!

Nurul Izzah Anwar


Kuala Lumpur, ibu kota dan untuk sekian lama nadi pentadbiran negara, telah dijadikan wilayah yang ditadbir terus oleh Kerajaan Persekutuan sejak 1 Februari 1974.

Sejak tahun 1965, pilihan raya ahli-ahli majlis tempatan - termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang pada 1961 diwujudkan sebagai Suruhanjaya Ibu Kota - tidak lagi dijalankan. Sudah pasti pada mulanya wujud sebab-musabab yang munasabah kenapa langkah ini diambil, tetapi masanya telah tiba - setelah 47 tahun berlalu - untuk dikembalikan hak rakyat untuk membuat pilihan semula.

Mengapa saya berkata sedemikian? Kita cuma perlu lihat belanjawan 2012 DBKL yang berjumlah RM2.3 bilion - bersamaan dengan jumlah belanjawan 2012 Kerajaan-kerajaan Negeri Selangor (RM1.6 bilion) dan Pulau Pinang (RM740 juta)! - dan bertanya:

Adakah jumlah ini benar-benar diguna dengan sebaik mungkin?

Telahkah DBKL memperjelas kepada para pembayar cukai pintu (ratepayers) tentang penggunaan wang rakyat yang begitu banyak ini?

Wujudkah satu sistem maklum balas menyeluruh yang mampu memastikan DBKL benar-benar bertanggungjawab dalam memastikan wang ringgit rakyat digunapakai dengan cara yang paling berkesan dan paling cekap?

Tanpa sistem pilihanraya kerajaan tempatan, kesemua soalan di atas hanya tinggal soalan.

Kuala Lumpur, bangkitlah!

Masanya telah tiba untuk kita nikmati sebuah DBKL yang benar-benar bertanggungjawab kepada para pembayar cukai pintu, dan boleh diganti mereka yang enggan mendengar suara rakyat.

Masanya telah tiba untuk kita didampingi seorang Datuk Bandar yang benar-benar dipilih penduduk Kuala Lumpur, dan boleh diganti mereka yang tidak berani untuk menyuarakan hati nurani rakyat.

Masanya telah tiba untuk kita alami sebuah Kuala Lumpur yang lebih maju, yang lebih mesra, yang lebih baik.

Selamat Hari Wilayah.

*Kenyataan media oleh Nurul Izzah Anwar (gambar kiri) selaku ahli parlimen Lembah Pantai dan Naib Presiden KEADILAN.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.