MALAYSIA KINI
Seorang pelajar tingkatan lima mendakwa dikasari dua anggota polis sehingga mengalami keretakan pada bahu kanan dalam satu kejadian di sebuah pasar raya di Bertam Perdana 3, dekat Butterworth pada 11 Februari lepas.Abang pelajar itu, Ahmad Fuad Mohd Nordin, 33, berkata kejadian itu berlaku ketika adiknya Ahmad Faiz,17, bersama seorang lagi adiknya, Ahmad Firdaus,14, hendak membeli santan di sebuah pasaraya yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya.
"Ketika Ahmad Faiz sedang memilih barang di pasaraya berkenaan tiba-tiba seorang lelaki berpakaian berbaju T gelap dan berseluar panjang menengking ke arahnya dan meminta dia keluar.
"Adik saya yang terkejut dengan kejadian itu tidak keluar sebaliknya terus berada dalam pasaraya berkenaan kerana tidak mengenali lelaki itu," katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di pejabat peguambela dan peguamcara Rosidi Mustafa & Haaryzan di Pusat Perniagaan Sunway,di Butterworth hari ini.
Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Ahmad Faiz dan bapanya Mohd Nordin Mohd Tahir dan peguam Azizi Abd Hadi.
Ahmad Fuad mendakwa lelaki berkenaan turut tidak memperkenalkan diri sebagai polis atau menunjukkan kad kuasanya sebaliknya terus menengking adiknya dan bertindak masuk ke premis itu dan menarik dan merentap tangannya.
Katanya berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pasaraya berkenaan mendapati seorang anggota polis berpakaian seragam muncul dan terus mencekik leher adiknya dari belakang.
"Dalam masa yang sama lelaki berpakaian preman itu dilihat menendang betis menyebabkan Ahmad Faiz hampir tersungkur sebelum mereka membawa adik saya berjumpa seorang anggota polis berpangkat sarjan yang bertugas di pondok polis komuniti berdekatan," katanya.
Katanya semasa di pondok polis, adik saya diminta menunjukkan kad pengenalan dan lesen memandu sebelum polis mengeluarkan saman kerana kesalahan tidak memakai topi keledar.
Ahmad Fuad berkata pemeriksaan doktor di Hospital Seberang Jaya (HSJ) pada 13 Februari lepas mengesahkan terdapat keretakan pada bahagian bahu adiknya itu.
Beliau turut membawa adiknya membuat laporan polis di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU) hari ini selepas mendapat kesemua bukti termasuk rakaman CCTV itu.
Katanya beliau dan keluarganya kesal dengan tindakan anggota polis terbabit yang didakwa melanggar tatatertib dan prosedur ditetapkan sebagai penjawat awam dan memperlakukan adiknya seperti seorang penjenayah yang menyebabkan Ahmad Faiz yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini trauma.
Sementara itu, Ketua Polis SPU ACP Zulkifli Alias ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada Ahmad Faiz dan siasatan sedang dijalankan berdasarkan rakaman CCTV dan saksi kejadian.
Katanya berdasarkan siasatan awal, anggota polis berpakaian preman itu ternampak pengadu dan adiknya tidak memakai topi keledar ketika tiba di pasaraya berkenaan dan bertindak memanggil pengadu tetapi dia enggan memberikan kerjasama sebaliknya terus masuk ke dalam pasaraya berkenaan.
"Anggota polis berpakaian preman itu menghubungi seorang anggota polis beruniform lengkap untuk meminta bantuan, tetapi pengadu masih enggan bekerjasama dan ketika itulah berlakunya pergelutan.
"Kita akan mengambil tindakan jika ia terbukti benar, kerana kita tidak sesekali melindungi mana-mana anggota yang melakukan kesalahan," katanya. Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.