Isnin, 27 Februari 2012

Budaya samseng penyokong BN

Oleh: Wira Rakyat

Kain rentang provokasi yang mengancam mahasiswa.


Serangan ganas ke atas ceramah Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) di Pandamaran, Klang pula dijadikan mangsa samseng upahan BN.

Sebelum itu, ceramah Asal Bukan Umno (ABU) di Seksyen 30, Jalan Kebun, Shah Alam dan pelemparan kepala babi di hadapan Masjid Al Hidayah, Kuala Lumpur bukan berlaku secara kebetulan.

Sejak puluhan tahun lalu, provokasi dan keganasan berunsurkan perkauman adalah insiden yang dirancang oleh ‘tangan-tangan ghaib’. Bagaimanapun tuduhan memecah keamanan sering tertimpa ke atas kaum Cina atau India. Pihak yang paling biasa dipersalahkan adalah parti-parti Pembangkang. Aktivis Pembangkang dijadikan mangsa serta ditahan di bawah ISA.

Umno BN selama 55 tahun memerintah kelihatan berada di kemuncak moral ketamadunan. Apa sahaja yang mereka lakukan betul mengikut lunas undang-undang. Bagaimanapun, sekiranya regim BN jatuh, dan satu kertas putih siasatan diumumkan, maka rakyat akan melihat betapa dahsyatnya para balaci parti itu merancang pelbagai insiden provokasi demi mengekalkan kuasa.

Pihak yang paling rugi dalam rusuhan 13 Mei 1969 ialah DAP. Berpuluh-puluh aktivis dan pemimpin parti itu ditahan ISA. Parti Sosialis Front pula lumpuh selepas para pemimpin yang memenangi Pilihan Raya Majlis Tempatan pada 1960-an dan menguasai pentadbiran Kuala Lumpur, Ipoh serta Pulau Pinang, dipenjarakan.

Rusuhan dahsyat

Rusuhan 13 Mei bukan dicetuskan oleh DAP atau orang Cina semata-mata seperti mana yang dimomokkan semenjak 40 tahun lalu, tetapi ia lebih merupakan perancangan licik membawa kaum Melayu dalam PAS bergabung bersama Umno bagi menubuhkan Kerajaan Barisan Nasional pada 1971.

Kemenangan tipis Perikatan di Selangor dan Perak serta kekalahan mereka di Pulau Pinang di tangan Gerakan (ketika itu Pembangkang utama) dalam pilihan raya umum 10 Mei 1969 dijadikan momokan menakutkan orang Melayu kononnya Cina akan merampas kuasa. Sedangkan Perikatan memiliki lebih 60 peratus kerusi Parlimen dan tidak menjadi masalah untuk mereka membentuk kerajaan yang baru.

Penyokong DAP ketika merayakan kemenangan memang melakukan provokasi ke atas kaum Melayu kerana kurangnya toleransi antara kaum selepas merdeka. Apatah lagi kaum-kaum di Malaysia dipisahkan oleh British dalam lingkungan masing-masing. Orang Melayu dikekalkan sebagai petani dan nelayan, India pekerja estet getah dan Cina golongan peniaga yang menguasai ekonomi. Matlamat British, kaum peribumi Melayu tidak akan mampu menuntut kemerdekaan kerana mereka tidak menguasai semua bidang.

Strategi British gagal ketika penjajahan Jepun. Orang Melayu, Cina dan India merasai sengsara diperlakukan Jepun sewenang-wenangnya. British tidak lagi diterima sebagai tuan besar setelah Jepun kalah. Bangsa-bangsa ini berpakat untuk bebas dan memerintah sendiri. Pakatan yang paling harmonis waktu itu wujud dalam gerakan kiri. Gerakan kanan pro-British dikuasai Umno, MCA dan MIC yang membentuk Perikatan hanyalah persatuan longgar tanpa persefahaman antara kaum.

Perikatan mahu menang mudah dalam pilihan raya, manakala British pula mahu parti pro-penjajah memerintah bagi melindungi kepentingan ekonomi mereka. Akhirnya British dan Perikatan (selepas merdeka) melakukan tangkapan besar-besaran ke atas pejuang kiri. Dalam siri Pilihan Raya 1955, 1959, 1964 dan 1969 banyak tokoh berjiwa rakyat silih berganti menghuni kem tahanan ISA serta gagal bertanding. Di hutan, pemberontakan Parti Komunis Malaya yang didominasi kaum Cina sedang memuncak. Maka secara borong kaum Cina dipersalahkan serta dipenjara atas tuduhan menyokong komunis.

Cermin kereta Anwar yang pecah semasa ceramah di Sembrong Ahad lalu.

Beribu-ribu aktivis dan pemimpin politik kaum Cina menghuni kem-kem tahanan di Malaysia. Perasaan tidak puas hati kaum Cina terhadap Perikatan meluap-luap. Apabila mereka menemui titik ledak pada Pilihan Raya 1969, mereka membuat perubahan. DAP menang besar di Selangor serta Perak. Perikatan sukar membentuk kerajaan di Selangor.

Tragedi pembunuhan

Tiba-tiba, tiga hari selepas pilihan raya kaum Melayu mengamuk. Berlaku pertempuran antara Melayu dan Cina menyebabkan ratusan terbunuh. Tidak masuk akal perayaan kemenangan DAP berakhir dengan tragedi berbunuhan.

Namun jika kita kembali melihat apa yang berlaku di Jalan Kebun, masyarakat India yang hadir mendengar ceramah sengaja dicederakan atau kepala babi dilempar ke dalam masjid, maka rakyat mendapat jawapan mudah mengapa 13 Mei itu terjadi.

Jika masih sangsi tanyalah orang Melayu di Kampung Baru Kuala Lumpur, siapakah yang mengumpulkan pesilat-pesilat di rumah Menteri Besar Selangor Datuk Harun Idris ketika itu dan siapakah pula yang mengumpulkan orang Melayu bersenjata di Masjid Kampung Baru atas alasan ‘menyelamatkan bangsa’?.

Setelah 50 tahun berlalu, taktik yang dimainkan balaci Umno ini sama sahaja. Fikiran mereka beku, tidak upaya menilai generasi baru facebook dan twitter yang mampu menyebarkan maklumat secara pantas. Sebaik sahaja mereka menyerang penyokong parti lawan, maklumat tepat berserta gambar kejadian tersebar. Rakyat yang sedia maklum mencemuh provokasi yang cuba mencetuskan rusuhan kaum.

Bagaimanapun, dendam penyokong Umno BN tidak pernah berakhir. Dendam menyerang otak dan hati setelah Hakim Mahkamah Tinggi membebaskan Anwar dari tuduhan liwat. Caci maki yang dihamburkan selama ini terhadap Anwar tiba-tiba menampar kembali ke muka mereka.

Masyarakat tidak lagi mempercayai JKKKP dan JKKK Umno yang menyebarkan cerita zakar atau dubur. Mereka dipandang hina, mungkin di sesetengah kampung ustaz-ustaz melabelkan mereka sebagai munafik dalam ceramah di masjid atau surau. Kemarahan yang tidak terkawal inilah yang mencetuskan pengamukan dan sabotaj.

Kerusi yang dipecahkan oleh kumpulan samseng

Hujung nyawa

Penggunaan kekerasan bukan perkara baru di Malaysia. Kerajaan BN pernah menembak mati 14 penyokong PAS di Memali hanya kerana mereka mempertahankan Ibrahim Libya dari sumbat ke dalam ISA. Di luar negara penyokong regim ganas mengunakan kekerasan di akhir nyawa pemerintahan.

Rejim Saddam Hussein menggunakan skuad Fedayeen untuk memusnahkan sesiapa sahaja penentang Saddam. Regim Gaddafi dalam kebangkitan tahun lalu dilaporkan membunuh 10,000 rakyat sebelum beliau sendiri dibunuh.

Bagi rakyat Malaysia yang gusar melihat masa depan negara dalam kegoncangan politik, hanya satu penawar mujarab untuk diambil. Tumbangkan BN dalam pilihanraya umum ke 13! BN sengaja membina ketidaktentuan politik dengan harapan rakyat yang ketakutan akan kembali berlindung di bawah naungan parti itu.

Tetapi ketika rakyat berlindung di bawah pemerintahan BN, mereka diganasi. Rumah diroboh, tanah dirampas dan tempat berniaga dimusnahkan. Itu belum lagi rompakan wang secara terhormat seperti skandal NFC atau PKFZ yang membebankan rakyat hutang setinggi gunung sehingga ke anak cucu.

Contohilah Indonesia. Sekali reformasi melanda , pemerintahan berubah, kini negara itu semakin baik dari tahun ke tahun dalam memerangi rasuah. Pelabur asing kian banyak menanam modal di sana berbanding di Malaysia. Juga negara-negara Arab yang berjaya berubah seperti Morocco dan Tunisia. Kerajaan baru yang memerintah mementingkan kesejahteraan rakyat.

BN hanya kuat kerana rakyat takut terhadap mereka, sekiranya rakyat berani maka merekalah yang akan lari ketakutan kerana pemimpinnya terlalu banyak melakukan dosa serta penyelewengan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.