Ahad, 1 Januari 2012

Selamat Tahun Baru 2012 – Bebaskan diri dari sikap perkauman jijik

Roketkini.com

GEORGE TOWN – Walau pun pelbagai kerajaan telah memerintah Pulau Pinang selama 225 tahun dengan pelbagai haluan, hubungan sesama rakyatnya tetap aman harmoni kerana dijalin semangat hormat kepada kepelbagaian budaya.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, tradisi keharmonian dan saling hormat-menghormati di antara pelbagai etnik dan budaya yang dilambangkan dalam pembinaan masjid, gereja, kuil-kuil India dan Cina di sekitar kawasan yang berdekatan, telah diiktiraf oleh UNESCO apabila George Town diberi status Bandar Warisan Dunia pada 7 Julai 2008.

“Kita yakin Pulau Pinang mampu mengalahkan golongan pelampau yang menggunakan emosi jijik dan juga mengatasi golongan rasis yang menakutkan rakyat dengan ancaman sama ada untuk mendominasi atau didiskriminasikan.

“Mari kita bebaskan diri daripada sikap-sikap pengabaian, tidak peduli dan tidak toleransi,” katanya dalam mesej tahun baru 2012.

Menurutnya, Pulau Pinang bercita-cita menjadi sebuah negeri yang pintar dan bertaraf antarabangsa demi berdaya saing dalam dunia globalisasi.

“Sebagai negeri yang tiada sumber asli, kita harus membangunkan sumber manusia dengan melatih, melatih semula, mengekalkan dan menarik modal insan,” tambah beliau.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, Pulau Pinang harus mendakap masa depan yang mapan dengan perumahan mampu milik dan lebih banyak kawasan hijau.

Sementara inisiatif hijau akan berterusan, katanya, perumahan mampu milik juga diberi kepentingan di mana kerajaan negeri Pakatan rakyat Pulau Pinang telah memperuntukkan jumlah terbesar di kalangan semua kerajaan negeri di Malaysia, iaitu RM500 juta untuk Dana Perumahan Mampu Milik demi memastikan anak-anak kecil akan dibesarkan dalam keadaan yang selesa dan bermartabat.

“Kita harus mendakap masa depan tanpa kemiskinan. Pulau Pinang telah menjadi negeri pertama untuk membasmi kemiskinan tegar pada tahun 2009 dengan pemberian bantuan kewangan sosial.

“Tahun depan, kita akan memastikan bahawa setiap keluarga di Pulau Pinang akan menerima pendapatan minima sebanyak RM600 sebulan. Pulau Pinang juga mempunyai hasrat untuk menjadi negeri pertama di Malaysia untuk membasmi kemiskinan menjelang 2015,” ujarnya.

Sementara pihak polis di Pulau Pinang telah bekerja keras untuk mengurangkan kadar jenayah, beliau menjelaskan, kerajaan negeri juga telah memainkan peranan dengan memasang CCTV dan memulakan program polis masyarakat untuk menjadikan Pulau Pinang negeri yang paling selamat di Malaysia.

“Kita harus memperbaharui semangat kerja yang kuat, jujur dan bijak. Hanya melalui penubuhan institusi dan kewujudan peluang boleh kita mencetuskan inovasi yang berteraskan teknologi, nilai tambah yang tinggi dan ekonomi berasaskan pengetahuan,” uajr beliau.

Menurut Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan, kerajaan negeri juga telah mencapai lebihan bajet setiap tahun dan berjaya menyelamatkan Majlis Perbandaran Seberang Perai daripada kemuflisan sejak mengambil alih pentadbiran dengan mengamalkan urus tadbir CAT (cekap, akauntabel dan telus) yang telah diiktiraf oleh Transparency International.

“Pulau Pinang makmur apabila kita sedar bahawa sesuatu negeri tanpa apa-apa sumber asli haruslah bergantung kepada sumber manusia dan pembangunan modal insan.

“Pulau Pinang merosot apabila kita lupa bahawa sumber keistimewaan negeri kita merupakan tenaga, kepakaran dan daya kesusahawanan rakyat kita,” ujarnya.

Justeru, beliau mengajak semua rakyat Pulau Pinang supaya berusaha gigih untuk menjadi negeri lebih bersih, hijau dan selamat dan yang membawa rezeki kepada mereka yang bekerja secara keras, jujur dan bijak. – Roketkini.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.