BERA- Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengajak rakyat, terutamanya orang Melayu menjadi ‘hakim’ dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang iaitu berani membuat keputusan.
Katanya, rakyat perlu berani berubah daripada keadaan sekarang di mana apabila tiba musim PRU seolah-olah sebagai pesta dan musim untuk mendapatkan wang.
Tambahnya, hasil daripada tidak memahami konsep sebenar politik dan pilihan raya inilah yang menyebabkan rakyat akhirnya boleh diperkotak-katikkan kerana mereka seolah-olah boleh dibeli.
“Sekarang sudah menjadi trend apabila menjelang pilihan raya, rakyat memikirkan berlumba-lumba nak dapat duit yang ditabur kerajaan dan peluang nak dapat durian runtuh tanpa menyedari kesilapan memilih kerajaan menyebabkan sengsara selama lima tahun selepas itu.
“Sepatutnya kesempatan yang ada diambil rakyat jadi hakim. Bila parti memerintah silap mereka tukar kerajaan seperti berlaku di England, Amerika, India, Indonesia dan lain-lain negara yang mengamalkan demokrasi. Maknanya mereka menjadi hakim.
“Malangnya di tempat kita sejak 50 tahun dulu, bila tiba musim PRU orang kita sibuk nak dapatkan duit menjadikan kuasa rakyat yang sebenar seolah-olah dapat dibeli,” katanya ketika berceramah dalam ucara kemuncak Sambutan 60 Tahun PAS Peringkat Parlimen Bera malam tadi.
Turut berceramah pada hari terakhir sambutan ialah Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Presiden Anak, Mazlan Aliman, Pengerusi SAMM, Badrul Hisham Shaharin dan Pengerusi DAP Negeri Pahang, Leong Ngah Ngah yang juga Adun Triang.
Abdul Hadi turut mengajak pendengar supaya mengambil iktibar daripada kisah politik semut pada zaman Nabi Sulaiman di mana apabila tentera melalui kawasan mereka, semut-semut yang lemah itu berfikir untuk menyelamatkan diri.
Tambahnya, kisah dalam Al-Quran ini sepatut boleh membuatkan kita berfikir bagaimana semut yang lemah menghadapi sebuah kerajaan.
“Cuba tengok orang kita bila orang besar datang, mereka sibuk berkerumun nak dapatkan duit tanpa sedar kuasa dan peranan yang kita ada. Jadi saya seru marilah menjadi rakyat yang bijaksana.
“Cukuplah kita beri peluang kepada Umno-BN memerintah. Selama 50 tahun merdeka masih banyak rakyat yang miskin, orang muda ramai yang menjadi penganggur.
“Maknanya selama ini masalah kemiskinan tak boleh selesai kerana kekayaan berlegar di kalangan kroni. Semua orang tahu bahawa hasil negara dan sumber mentah begitu mewah tetapi rakyat miskin,” tegasnya.Harakahdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.