Isnin, 30 Januari 2012

Pakar sejarah Melayu: Hang Tuah memang wujud

"Bagi mereka (orang Cina dan Portugis) dokumen bertulis itu adalah bukti. Tiada dokumen tidak ada bukti," kata Prof Zainal Kling



PETALING JAYA: Pakar sejarah negara, Prof Datuk Zainal Kling mempertahankan kewujudan Hang Tuah tetapi mendakwa tidak banyak dokumen mengenai pahlawan Melayu itu.

“Ini yang menyebabkan orang Cina dan orang Portugis menganggap kewujudan Hang Tuah sebagai dongeng.

“Bagi mereka (orang Cina dan Portugis) dokumen bertulis itu adalah bukti. Tiada dokumen tidak ada bukti.

“Tetapi buku sejarah Melayu yang ditulis pada zaman kesultanan Melaka dan Johor jelas menyebut kewujudan Hang Tuah, rakan-rakannya, Puteri Hang Li Po serta keris Taming Sari milik Hang Tuah.

“Orang Asli turut percaya dan memperakui Hang Tuah dan mendakwa pahlawan Melayu itu keturunan orang laut dari kepulauan Melaka,” kata ketua kluster sejarah, warisan dan sosio-budaya dari UPSI itu.

Zainal berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Prof Khoo Kay Kim yang mendakwa pahlawan Melayu itu tidak wujud.

Dakwaan Khoo itu telah menimbulkan polemik dan perdebatan hangat di kalangan masyarakat tempatan.

Bagi orang Cina dan Portugis, menurut Zainal. Hang Tuah tidak penting kepada mereka.

Hang Tuah ada anak

“Mereka hanya ambil tahu tentang Sultan Melaka dan bukan orang lain.

“Sebab itu dokumen sejarah orang Cina dan Portugis tidak menyebut tentang Hang Tuah,” tambah Zainal.

Menurut beliau lagi, Hang Tuah berkahwin dan mempunyai anak tetapi jejak mereka tidak dapat dikesan.

Katanya, orang Melayu memang percaya tentang kewujudan Hang Tuah.

“Kita berharap persatuan sejarah Sungai Duyung di Melaka tampil dengan mengemukakan dokumen bertulis mengenai kewujudan Hang Tuah bagi meleraikan kekusutan.

“Kita akan lihat nanti sama ada Hang Tuah benar-benar wujud atau tidak,” kata Zainal.

Baru-baru ini, persatuan sejarah itu mendakwa mempunyai bukti kewujudan Hang Tuah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.