KEADILAN mengecam tindakan polis termasuk FRU untuk meleraikan perhimpunan aman mahasiswa di hadapan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) secara ganas pada awal pagi ini.
Difahamkan kira-kira 100 orang mahasiswa berhimpun di hadapan UPSI semalam sebagai bantahan kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti serta mendesak UPSI menarik balik tindakan terhadap Adam Adli. Adam merupakan mahasiswa UPSI yang mendapat perhatian meluas apabila menggantikan bendera yang tertera gambar PM dengan panji kebebasan akademik.
Pihak polis, termasuk dua trak FRU dan pegawai Cawangan Khas hadir beramai-ramai dan pada 2.30 pagi, bertindak ganas apabila mahasiswa enggan bersurai.
Salah satu mahasiswa tersebut, Muhammad Safwan Anang dipukul oleh lapan orang pegawai polis dan SB sebelum beliau dilarikan oleh rakan-rakannya ke Hospital Slim River. Beliau mula-mulanya koma dan mengalami tulang pipi yang patah sebelum beliau akhirnya sedar diri.
Sehingga kini difahamkan kira-kira 17 mahasiswa termasuk Adam Adli telah ditangkap oleh pihak polis.
Pihak mahasiswa turut mendakwa beberapa wartawan yang menunjukkan pas media mereka turut dipukul pihak polis.
Tindakan polis pada hari ini jauh berbeza dengan tindakan mereka ketika perarakan mahasiswa ke PWTC yang berkesudahan dengan berkibarnya panji kebebasan akademik.
KEADILAN berharap Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Hussein Onn dan Ketua Polis Negara dapat segera tampil memberikan penjelasan. Keganasan ini membuktikan ucapan Hari Malaysia Perdana Menteri dan Agenda Transformasinya tidak membawa sebarang makna.
*Kenyataan media oleh Nik Nazmi Nik Ahmad (gambar kanan) selaku Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.