Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak tegas.
Beliau tidak mahu berganjak dari keputusannya enggan menarik balik hukuman menggantung lima pelajar Kolej Universiti Insaniah (KUIN). Baginya, peruntukan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) perlu dikuatkuasakan untuk mendisiplinkan pelajar.
Dengan perkataan lain, beliau enggan menghiraukan pandangan pihak lain, termasuk dari partinya sendiri – PAS – bahawa semangat AUKU kini sudah lapuk dan harus dimansuhkan. PAS, dan kerabat Pakatan
Rakyat berjanji sebelum ini bahawa AUKU akan dihapuskan jika berjaya menawan Putrajaya. Ini termaktub dalam Buku Jingga, manifesto Pakatan Rakyat.
Namun Azizan bersedia dipecat dari kedudukan Menteri Besar kerana yakin AUKU mestilah digunakan untuk menyaring disiplin pelajar.
Pandangan itu seiras dengan pemikiran bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamed bahawa AUKU masih relevan dengan iklim politik mahasiswa hari ini.
Pemimpin pelajar “lima serangkai” KUIN dihadapkan pada Jawatankuasa Disiplin 25 Mei 2011 kerana melanggar AUKU dengan terbabit dalam tunjuk perasaan memprotes keputusan KUIN mahu menjadikan bangunan tahfiz menjadi sekolah bestari.
Mereka didakwa menggunakan pembesar suara, memanggil sidang media dan berucap dalam tunjuk perasaan berkenaan. Seorang daripada mereka, Mohd Faiz Mohd Arshad digantung pengajian dua semester sementara empat yang lain digantung satu semester. Mereka juga diberikan surat amaran.
“Lima serangkai” ini juga telah mengemukakan kes mereka ke mahkamah. Bagaimanapun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menangguhkan perbicaraan 18 Januari lalu ke satu tarikh yang belum ditetapkan.
Faktor usia
Sikap Azizan ini tegas dan berani. Suara penentangan daripada pihak Pakatan Rakyat dan “orang luar” seperti Profesor Abdul Aziz Bari, tidak menggerunkannya. Kata Azizan, KUIN ialah produk kerajaan negeri.
Beliau berhujah KUIN diserahkan kepada pasukan pentadbir yang perlu berpandukan AUKU dalam pengurusan ehwal pelajar. Maka menteri besar ini memberi kepercayaan penuhnya kepada pasukan pentadbir KUIN untuk membuat keputusan berhubung kes itu.
Sukar hendak pastikan mengapa dan apa yang mendorong Azizan begitu tegas. Tidak pasti sama ada faktor usia menyebabkan Azizan bersependapat dengan Dr Mahathir atau beliau menganggap pandangan parti tidak bijaksana. Di peringkat ini sukar juga hendak dipastikan cara dan unsur apa yang mempengaruhi Azizan dalam membuat sikapnya.
Yang pasti, menjelang pilihan raya umum ke-13, pemimpin kanan parti, terutama seperti Azizan seharusnya lebih berhemah menyatakan pendirian dan menguruskan isu-isu politik yang melilit kepemimpinannya. Nampaknya Azizan tidak ambil peduli soal persepsi pengundi. Baginya, yang benar tetap benar. Dalam isu KUIN beliau yakin akan ketepatan keputusannya.
Kenyataan Azizan ini benar-benar mencabar kesesuaian nasihat Rasulullah SAW -- perbezaan pendapat adalah satu rahmat. Namun menurut kebijaksanaan apa pun, di ambang pilihan raya umum, adalah tidak bijaksana untuk menyerlahkan perbedaan pandangan di kalangan saf pemimpin. Sebab itu, PKR tangguh mengambil tindakan terhadap menteri besar Selangornya walau tidak disenangi oleh ramai pemimpin parti.
Letak muka
Di satu segi mungkin Azizan mahu bersikap adil dan demokratik terhadap pasukan pentadbir KUIN. Mungkin pada perkiraan Azizan memperkasakan pasukan akademik dan pentadbiran KUIN mungkin boleh meraih sokongan golongan pentadbir kolej itu khususnya dan rakyat di Kedah amnya.
Namun bagaimana dengan persepsi pengundi di luar lingkungan ini? Seriuskah Pakatan Rakyat hendak memberi kebebasan akademik kepada golongan pelajar?
Soalnya, benarkah isu KUIN adalah soal kerajaan negeri dan tidak kena mengena dengan urusan peringkat nasional, baik bagi kerajaan BN mahupun Pakatan? Jika Azizan “dilepaskan” dengan sikap dan pemikiran begini, di mana Pakatan hendak letak muka?
Belum memerintah, ia sudah menunjukkan kelemahan tidak mampu mendisiplinkan pandangan pemimpin-pemimpin di kalangan kerabatnya?
Tidakkah isu ketegasan Azizan (atau kedegilannya) ini akan mendorong pemimpin kerabat Pakatan untuk campurtangan dan memulas sekali lagi tangan pemimpin PAS supaya mengambil tindakan mendisiplinkan Azizan seperti dalam kes bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Hasan Ali?
Bila Hasan melanggar sempadan protokol berkerabat Pakatan dengan mempertikai kewibawaan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, PAS memecat Hasan. Adakah Azizan akan menghadapi nasib yang sama?
Jika demikianlah kesudahanya, apakah isyarat dan persepsi yang terbina terhadap mutu dan falsafah kepemimimpan PAS? Tidakkah ini akan membenarkah persepsi bahawa PAS hanya parti ‘Pak Turut” dalam Pakatan?
Bawa rahmat
Adakah PAS akan mengulangi persepsi yang sama dalam rentetan kes Hasan Ali? Apabila kewibawaan dan citra parti Islamnya dipersoalkan bila Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengambil alih portfolio Exco Agama Islam dari PAS, pemimpin-pemimpin kanan PAS Selangor bergegas mengadakan sidang media untuk menyatakan keyakinan terhadap pengetahuan agama Abdul Khalid dan kesesuaian beliau menjawat exco agama Islam!
Yang mempertikaikan tindakan Azizan bukan sekadar ahli biasa. Ia termasuk sayap pemuda PAS yang dipimpin ulama muda. Adakah perbezaan pendapat ini membawa rahmat? Mungkin ia akan menonjolkan sikap tolenrasi dan demokratik PAS terhadap perbedaan pandangan di kalangan pemimpinnya.
Namun tidakkah gelagat Azizan ini mengesahkan ada pemimpin parti itu sendiri yang masih bersilang pendapat dan halatuju kerabat Pakatan lain?
Jika demikian keadaannya, persoalan yang pasti berlegar di kalangan rakyat atas pagar ialah, bagaimana hendak percaya PAS benar-benar berjuang di atas motto “PAS for All” jika pandangan komponen dalam kepemimpinan partinya sendiri mampu (dan dibiarkan) menyanggah pendirian kerajaan campuran Pakatan yang hendak didirikan?
Apapun ketegasan Azizan mungkin menyemarakkan semangat sesetengah ahli PAS bahawasanya Buku Jingga yang menjadi anutan Pakatan bukan al Quran. Azizan telah membuktikan bahawa lantaran itu, ahli PAS boleh memilih untuk menuruti piagam Buku Jingga atau menolaknya bila-bila perlu.
Isyarat yang jelas dari gelegat Azizan ini ialah rakyat juga bebas percaya atau tidak percaya keikhlasan Pakatan mahu memimpin Malaysia ke arah pembentukan negara yang lebih adil dan demokratik.
ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis/penyumbang dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang pengarang Malaysiakini.
Abdul Rahman Malik adalah bekas kakitangan awam dan kini cenderung memperjuangkan nasib politik orang-orang Melayu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.