Ahad, 1 Januari 2012

Demo siswa berdarah membuka tirai tahun 2012

Lu Wei Hoong


"Lalu, tahun baru pun panas bertunas; lalu, demo siswa pun ganas ditindas." Demikianlah puisi yang ditulis oleh Sasterawan Negara A.Samad Said pada laman Facebooknya, setelah perhimpunan kira-kira 60 orang siswa-siswi di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) disuraikan secara kasar oleh pihak polis.

Perhimpunan yang bermula pada jam 1.30 awal pagi 1 Januari 2012 ini berakhir dengan penangkapan 17 orang, termasuk 14 orang siswa, dan kecederaan tiga orang pemimpin siswa, iaitu Pengerusi Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS), Muhammad Safwan Anang, Presiden KAMI Haziq Abdullah Abdul dan Amar Rasyidi.

OCPD Tanjung Malim Othman turun sendiri pada jam kira-kira jam 2 pagi untuk berunding dengan Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Syukri Razab, menyatakan bahawa polis tidak berhasrat untuk menyuraikan pelajar dengan kekerasan, dan meminta agar pelajar bersurai dengan aman - memandangkan kedua-dua pihak adalah muslim.

Bagaimanapun, Syukri Razab menyatakan bahawa sudah 40 tahun siswa-siswi dikongkong Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), dan mereka sebenarnya memperjuangkan kebebasan akademik untuk anak polis, mata-mata gelap (SB) di situ, supaya pemikiran mereka tidak disekat. Justeru itu, pihak siswa enggan bersurai.

Setelah tiga kali diberi amaran, siswa-siswi berundur ke luar pintu UPSI, malah salah seorang pelajar memanjat pagar dan menggesa agar pihak universiti membuka pintu. Melihat keadaan sebegitu, polis memberi arahan untuk menangkap siswa-siswi, dan keadaan mula kecoh ketika penangkapan berlaku.

Beberapa orang siswa yang berbadan tegap ditekan, malah cuba dibawa ke dalam kereta polis. Sepanjang proses itu, Muhammad Safwan Anang mengalami kecederaan sehingga darah kelihatan mengalir dari mulutnya, Haziq Abdullah Abdul pula pengsan dan Amar Rasyidi mengalami kecederaan sehingga lukanya pada dahi perlu dijahit.

Melihat keadaan Safwan yang serius, siswa yang kecemasan membawanya ke klinik yang terdekat, malah memecahkan pintu kaca klinik itu untuk mendapatkan rawatan bagi Safwan. Bagaimanapun, pihak klinik menganggap kecederaan Safwan amat parah, dan tidak terdaya untuk mengendalikannya. Safwan kemudian dikejar ke wad kecemasan Hospital Slim River.

Menurut saksi, siswa terpaksa mendapatkan rawatan cemas untuk Safwan kerana pihak polis tidak mengendahkan situasi yang dialami Safwan.

Mengecam pihak polis

Tindakan polis yang menggunakan kekerasan ketika menyuraikan perhimpunan siswa ini telah dikecam pihak pembangkang.

Perhimpunan pada awal pagi ini diadakan sebagai tanda sokongan terhadap Adam Adli, yang diberi notis untuk hadiri prosiding tatatertib UPSI lantaran perbuatannya menurunkan bendera berwajah Presiden UMNO Najib Razak, dan menggantikannya dengan panji Kebebasan Akademik.

Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia Nasrudin Hassan memberi masa sehingga 12 tengahari ini kepada polis untuk membebaskan semua tahanan siswa, atau berdepan dengan satu lagi perhimpunan anak muda.

"Pemuda Dewan Pemuda PAS membantah dan mengutuk sekerasnya tindakan kejam ini. Saya harap seluruh pemuda dari seluruh negara bersedia. Mulakan detik ini untuk bermunajat kepada Allah swt agar saudara Safwan kembali pulih dan 17 mangsa tahanan di bebaskan menjelang jam 12 tengahari ini. Jika tidak satu himpunan besar anak muda akan diadakan bagi mendesak pembebasan mahasiswa dan pihak polis yang terlibat melakukan kekasaran ini mestilah disiasat dan diambil tindakan tegas," tulis Nasrudin dalam blognya.

Di samping itu, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali mengeluarkan kenyataan, "Kita menuntut agar siasatan berkaitan kekerasan terhadap mahasiswa ini dijalankan segera. Mereka yang tidak bertanggungjawab melakukan kekerasan terhadap mahasiswa ini mesti dihadapkan ke muka pengadilan. Manakala itu, kita juga menuntut agar pihak polis dan Menteri Dalam Negeri memohon maaf kerana kekerasan keterlaluan yang dilakukan. Kita juga berhasrat mengulangi pendirian Parti Keadilan Rakyat dan Pakatan Rakyat untuk memansuhkan AUKU serta iltizam demi memastikan kebebasan akademik terlaksana."

Dalam perutusan Tahun Baru 2012 oleh Perdana Menteri Najib Razak, beliau menyebut "Dasar Transformasi Nasional mempunyai permulaannya dengan pelancaran Program Transformasi Kerajaan (GTP) diikuti Program Transformasi Ekonomi (ETP) serta pelancaran Model Baru Ekonomi (NEM), Program Transformasi Politik (PTP) dan Program Transformasi Luar Bandar (RTP).

Kesemua inisiatif dasar ini bukanlah sekadar pengumuman kosong mahupun tidak berpijak pada bumi yang nyata kerana jika dilaksanakan dengan betul dan mengikut jadual akan menyaksikan kemunculan sebuah Malaysia Baru. Sebuah negara yang bukan sahaja maju dari segi ekonomi dengan kemakmuran yang dikongsi setiap strata dan segmen rakyat tetapi juga sebuah watan dengan tradisi demokrasi serta perbezaan pendapat yang membina dan membugar."

Malah beliau menambah, "Kerajaan tetap komited dengan program islah dan pembaharuan dalam semua bidang dan aspek kehidupan bernegara kerana inilah kehendak dan aspirasi rakyat yang mahukan kehidupan yang lebih baik untuk mereka dan anak-anak mereka. Inilah usaha demi Generasi masa depan Malaysia yang berhak membesar dalam suasana harapan bukannya kemuraman. Kita tidak akan tunduk kepada tekanan mana-mana pihak yang mahu menggagalkan matlamat mulia ini."

Baca: Apabila pelajar menggenggam hak politiknya

Baca: Demo UPSI: 17 tahanan dibebaskan, Safwan semakin pulih

*Lu Wei Hoong ialah wartawan khas MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Disedut, disunting dan diterjemah dari teks asal.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.