Selasa, 31 Januari 2012

Aktif JK Disiplin: Bukti Umno bermasalah, Najib bimbang kena ‘tikam’ belakang

Oleh: Editor@WD


Pengumuman Datuk Seri Najib Razak, Umno membuat pertimbangan akan mengaktifkan Jawatankuasa Disiplin parti sebagai persiapan awal sebelum pemilihan parti dan Pilihanraya Umum (PRU) menjadi bukti Umno sedang dilanda masalah ‘kepercayaan’ di kalangan ahli. Dengan kata lain, Najib bimbang akan ada pihak-pihak tertentu yang tidak senang dengannya dalam Umno akan ‘tikam’ belakang.

Umno dilihat dilanda sindrom hilang kepercayaan semasa sendiri apabila menjelang PRU, lebih-lebih lagi, saban pilihanraya diadakan, akan laporan ‘cas keting’ sesama sendiri, gara-gara tidak dicalonkan dalam pemilihan parti dan pilihanraya. Inilah dasar perjuangan dalam Umno yang mengharapkan imbuhan dan pangkat jika mahukan turun padang melihat rakyat. Jika tiada, usah mimpi rakyat nak bertemu muka dengan mereka.

Keadaan ini menyebabkan Najib merasa gusar dan menyebabkan berkira-kira mahu mengambil tindakan drastik, mengaktifkan JK Disiplin bagi menghalang sabotaj besar-besaran terhadap pemilihan parti yang bakal diadakan.

Najib bimbang, Umno akan berpecah teruk sebelum diadakan PRU-13 yang semakin hampir.

Tidak mustahil juga, idea mengaktifkan kembali jawatankuasa berkenaan disebabkan ada suara-suara menyatakan Najib sedang ditentang secara diam-diam dalam Umno, gara-gara ‘campur-tangan’ isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dala pentadbiran dan urusan parti. Mungkin Najib bimbang nasibnya sama dengan bekas presiden sebelumnya, Tun Abdullah Badawi.

Dipetik dari The Malaysian Insider, Presiden Umno itu telah menjelaskan langkah mengaktifkan JK Disiplin itu bagi mengukuhkan disiplin parti dan seterusnya menghalang sebarang usaha untuk sabotaj pemilihan parti sebelum pilihan raya diadakan.

“Kami tidak mahu sesuatu berlaku selepas pemilihan, kesannya telah pun berlaku. Jadi lebih baik kita proaktif.

“Ini adalah yang pertama kali, dalam erti kata lain kami mengaktifkannya (jawatankuasa) lebih awal,” kata Najib selepas mempengerusikan mesyuarat ahli majlis tertinggi Umno baru-baru ini.

Najib bagaimanapun menafikan Umno menjangkakan sabotaj besar-besaran di antara ahli akan berlaku pada pilihan raya umum akan datang menambah ia hanya langkah berjaga-jaga.

Beliau berkata ia bukan perkara luar biasa menghadapi masalah disiplin dalam mana-mana pilihan raya terutamanya dari ahli-ahli yang tidak dipilih menjadi calon.

“Dalam parti yang besar, terdapat ramai yang membantah...Mungkin mereka tidak dipilih dan pengikutnya, yang akhirnya memilih menyokong pembangkang.

“Oleh itu, pada saat ini kita perlu kukuhkan disiplin (dalam parti),” kata Najib.--WARKAHDAILY

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.