Rabu, 28 Disember 2011

Surat Terbuka Mahasiswa Membenci UMNO BE END?

Blog Tentera Semut


Mahasiswa Kepada Pemimpin UMNO dan juga penyokong UMNO

Jika tiada insiden menurunkan gambar DS Najib oleh Adam Adli, pastinya suara mahasiswa melalui BEBAS tidak disahut oleh masyarakat.

Terima kasih tidak terhingga kepada abang “Ludah” dari UMNO Petaling Jaya Utara, video sarkas anda berjaya menghangatkan lagi perhatian masyarakat.

Juga penghargaan kepada media UMNO termasuk cybertrooper mereka, anda secara tak langsung menjadi stimulus kepada kebangkitan mahasiswa.

Dan nampaknya, pemimpin UMNO sangat sensitif dengan “kebiadaban” mahasiswa ini sehinggakan isu ini diulas oleh hampir semua wakil pergerakan sayapnya (walaupun boleh jadi hanyalah gimik membodek).
Maka, kami mahasiswa ada jawapan untuk pemimpin-pemimpin UMNO.

Saya adalah seorang mahasiswa. Pendapat saya ini bukanlah suara seluruh mahasiswa secara rasmi, tapi saya yakin ramai rakan-rakan mahasiswa lain senada dengan saya.

Sebagai permulaan, saya berani nyatakan bahawa majoriti mahasiswa sudah muak dan jelik dengan UMNO secara keseluruhannya dan bersedia menolak UMNO/BN dalam PRU 13 nanti.

Saya akan detailkan kenapa.

Yang Pertama, Mahasiswa tak suka dikongkong. AUKU benar-benar telah menjadi hantu yang sentiasa merayau-rayau menyekat kebebasan mahasiswa menyuarakan pendapat. Ugutan berpanjangan menjadikan segelintir mahasiswa bukan sahaja takut untuk berdaftar sebagai pemilih, malah nak bercakap isu-isu politik pun menjadi sesuatu yang janggal.

Mungkin UMNO rasa tindakan ini berjaya mengendurkan keinginan politik mahasiswa. Tapi nyata mereka silap. Air yang disekat dari mengalir telah pun tepu. Ia akan pecah dan mampu menghasilkan tsunami besar.

Mungkin tidak ramai mahasiswa yang berani suarakan secara terbuka seperti di PWTC yang lepas, tapi kebencian pada kongkongan ini kami pendam dalam hati.

Nantikan tsunaminya pada kertas undi nanti. Sikap mengongkong ini sangat jauh dengan semangat kemahasiswaan kami.

Yang Kedua, Mahasiswa tak akan terumpan dengan wang. Kami acap kali diingatkan supaya terus menyokong UMNO kerana kerajaan sudah bagi peluang belajar di universiti. Kami yang mendapat biasiswa JPA, MARA dan sebagainya lebih-lebih lagi diingatkan supaya bersyukur dengan pemberian kerajaan. Kami juga sering diingatkan supaya focus pada pelajaran sahaja dan jangan sibuk dengan politik.
Wahai pemimpin UMNO, ini jawapan kami.

Sebenarnya, kami mahasiswa sudah muak dengan “ayat hafalan” pemimpin UMNO ini. Bila berdepan dengan mahasiswa, inilah mentera yang akan diulang-ulang hingga kami hampir termuntah mendengarnya.

Kami reti membezakan antara apa itu UMNO dan kerajaan. Biasiswa kami bukan daripada duit yuran keahlian jutaan ahli UMNO, tapi biasiswa kami adalah duit negara hasil titik peluh ibu bapa kami. Kontrak kami dengan JPA ataupun MARA bukanlah kontrak untuk kami mengampu UMNO, tapi untuk berkhidmat balik kepada rakyat.

Kami dihantar ke universiti bukan untuk menjadi hamba buku akademik semata, kami adalah pewaris politik Negara. Ilmu politik tidak diajar dalam buku teks kejuruteraan dan perubatan, tapi ketololan kamu telah mengajar kami erti politik yang sebenar.

Wahai pemimpin UMNO, kami bukannya lembu fidlot yang boleh ditarik hidung bila dihulurkan rumput, tapi kami adalah legasi Nabi Musa yang akan bangkit menentang Firaun yang angkuh dan zalim walaupun Nabi Musa A.S sendiri diibesarkan oleh Firaun sejak kecil.

Yang ketiga, Kami Mahasiswa generasi facebook dan internet. Kami ingin ingatkan pada pemimpin UMNO, mahasiswa sudah bosan dengan media arus perdana. Kebetulan sekarang ini tiada keperluan untuk kami menonton televisyen. Maklumlah, filem, ceramah, maklumat, hiburan dan lain-lain boleh dimuat turun terus dari internet.

Apabila melihat akhbar dan televisyen terutama di musim dekat pilihanraya ini, perasaan muak dan jijik kami semakin membuak-buak. Buletin Utama TV3 patut ditukar nama kepada Buletin UMNO. Setiap minggu, isu-isu baru sentiasa timbul dan akan diulang-ulang setiap hari di akhbar tempatan. Boring!.

Andainya kami dibenarkan berijtihad, pastinya fatwa kami adalah hukumnya makruh membaca Utusan Malaysia dan haram membelinya.

Wahai pemimpin UMNO, jujurlah dengan situasi sekarang. Log in facebook, dan nilai mode orang-orang muda di facebook. Jika kamu jujur, pastinya kamu tak lena tidur!

Yang keempat, Mahasiswa dahagakan keadilan dan kebebasan. Pembangunan material bukan lagi kegilaan kami. Kamu tawarkanlah bangunan sebesar gunung Kinabalu sekalipun, kami tak akan mabuk dengan arak pembangunan.

Kami inginkan pembangunan agama. Kami ingin kebebasan, tiada lagi sekatan-sekatan pada program dakwah. Kami ingin lihat rakyat miskin terbela, bukan tauke melayu elit yang kaut harta Negara.

Kami ingin kepala-kepala rasuah dihukum, bukan ikan bilis kerani pejabat yang dikambing hitamkan. Kami inginkan subsidi rakyat diutamakan, bukannya menyuruh rakyat tanam ubi kayu di belakang rumah.

Wahai pemimpin UMNO, disebabkan betapa banyak korupsi yang kamu lakukan, apa sahaja kebaikan yang kamu buat pasti dipandang sinis. Kamu buat projek-projek besar untuk rakyat tapi akhirnya terkantoi kroni yang dapat projek.

Kamu bertanding jawatan ketua UMNO bahagian pun untuk berebut tender rakyat. Kamu bahagi duit untuk pelajar RM100 seorang, tapi kami tahu kamu telah bertahun-tahun makan jutaan ringgit wang rakyat. Kalau tak percaya, sila tanya Taib Mahmud budak Sarawak.

Akhir kata, Pemimpin UMNO harap sudah bersedia dengan air mawar dan batu nisan di sisi katil, kami mahasiswa sudah bersedia dengan dengan jentolak untuk menggali kubur UMNO. Semoga bersemadi dengan selamat ya!

Daripada:
Iskandar Kamrul Amin,
Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
kampus Kuantan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.