Harakahdaily |
KUALA LUMPUR: Gabungan Hentikan Lynas (SLC) menggesa kerajaan mengundang Lynas supaya menjalankan Kajian Terperinci Kesan Alam Sekitar (DEIA) atas Lynas Advanced Material Plant (LAMP) bagi memenuhi kriteria terbaru yang ditetapkan oleh kerajaan. SLC dalam satu kenyataan menyatakan, menurut ketetapan Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang dipaparkan di laman web bertarikh 20 Jun 2011, aktiviti tambahan yang memerlukan DEIA adalah “kegiatan yang melibatkan bahan radioaktif dan menghasilkan sisa radioaktif. “Jelas bahawa sisa buangan melalui proses Penapisan dan Penulenan Air (Water Leach Purification, WLP) dari LAMP adalah sisa buangan yang beradioaktif. Fakta ini juga dikenalpasti dan diperakui oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dalam Parlimen pada 14 Nov 2011,” ujar SLC dalam kenyataan itu. SLC mengalu-alukan pengemaskinian terbaru JAS kerana ini membuktikan kerajaan mula mengambil berat atas pengendalian dan pengurusan sisa buangan radioaktif. Walaupun masih terdapat banyak kelemahan dari segi undang-undang yang berkaitan dengan alam sekitar terutamanya dari sudut pemantauan dan penguatkuasaan, SLC menganggap langkah tersebut menunjukkan satu titik permulaan kerajaan ke arah pengurusan alam sekitar yang lebih mantap dan profesional. SLC juga berharap kerajaan jangan memberikan alasan bahawa projek LAMP diluluskan sebelum ketetapan terbaru ini dan oleh itu boleh dikecualikan daripada DEIA. Menurut SLC lagi, LAMP merupakan kilang pemprosesan tanah nadir terbesar di dunia dan bakal memproses sebanyak 64,000 tan tanah nadir mentah dari Mt. Weld Australia serta berupaya menghasilkan 22,000 tan tanah nadir setahun. SLC juga ingin mengingatkan kerajaan bahawa Kajian Awal Kesan Alam Sekitar (PEIA) LAMP diluluskan dengan cepat sekali oleh kerajaan iaitu hanya mengambil masa 3 minggu sahaja. Dari segi lokasi LAMP, jarak tapak tersebut hanya 2 km daripada kawasan penduduk terdekat, 4 km daripada pinggir pantai dan 25 km daripada Bandar Kuantan. Lingkungan 30 km jejari daripada tapak LAMP akan merangkumi 700,000 penduduk iaitu lebih kurang 47% daripada jumlah penduduk Pahang. Sementara itu, SLC juga menganggap bahawa DEIA dapat membantu LAMP memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang mana kemudian juga dipersetujui oleh kerajaan Malaysia. Antaranya syarat ke-9 dan ke-10 menetapkan bahawa AELB dan Lynas harus mengerapkan komunikasi dengan pihak yang berminat dan terjejas. Jelas, DEIA yang mewajibkan perundingan awam dapat membantu memenuhi syarat-syarat tersebut. “Maka adalah menjadi satu kewajiban bagi sesebuah kerajaan yang bertanggungjawab, profesional dan berorientasikan rakyat untuk memastikan pelaksanaan projek tersebut tidak menggadaikan keselamatan penduduk dan kelestarian alam sekitar,” ujar SLC lagi. Dengan itu, SLC menggesa kerajaan mengarahkan Lynas secepat mungkin supaya menjalankan DEIA bagi memulihkan keyakinan dan meningkatkan ketelusan projek tersebut. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.