Jumaat, 2 Disember 2011

Selangor Terokai Bidang Bioteknologi Pertanian

Oleh Afix Redzuan


SHAH ALAM: Selangor bakal mengorak langkah ke arah teknologi pertanian berasaskan bioteknologi sebagai usaha permodenan industri pertanian ke arah hasil berpendapatan tinggi bersesuaian dengan tema Selangor Agrofest 2011, ‘Selangorku Reformasi Pertanian'.

Dalam tempoh beberapa tahun mendatang, hampir 80 peratus jumlah tanah di negeri ini akan menyaksikan pembangunan urban dan tanah untuk pertanian akan menjadi terhad.

Justeru, teknologi Bioteknologi merupakan satu langkah alternatif yang dilihat berkesan dalam usaha memastikan sektor pertanian berlangsung rancak seiring dengan pembangunan semasa.

Melalui sistem pembangunan pertanian ini, sebagai contoh satu biji benih boleh dihasilkan dalam satu makmal yang kecil namun membawa pulangan hasil yang memberangsangkan.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam perasmian SAF 2011 berkata, Jabatan Pertanian Selangor perlu mencari kaedah terbaik bagi meningkatkan produktiviti hasil pertanian dengan satu kaedah tanah yang terhad.

"Saya dapati kita mesti memikirkan cara baru dari segi pertanian iaitu kita menumpukan kepada usaha bioteknologi.

"Bioteknologi boleh kita buat supaya kita dapat mempertingkatkan hasil dalam kumpulan pertanian tetapi nilainya sangat tinggi," katanya.

Ujar Abdul Khalid lagi, Agrofest akan datang merupakan satu cabaran bagi Selangor dalam memperkenalkan teknologi moden yang boleh mendatangkan pulangan hasil dalam keadaan tanah yang terhad tetapi dengan produktiviti dan nilai yang sangat tinggi.

"Saya tahu bioteknologi yang diusahakan oleh kerajaan persekutuan telah mula bertapak di Selangor yang juga memerlukan sokongan dari usahawan dan petani untuk menterjemah kajian-kajian mereka dalam bentuk yang mana hasilnya memberian kita pulangan yang lumayan," katanya.

Beliau menambah, dari segi peruntukkan, kerajaan negeri akan menyediakan peruntukan khas tanpa mengganggu bajet pembangunan pertanian dan kebajikan yang diperuntukkan dalam Belanjawan Selangor 2012 yang berjumlah RM3 juta.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.