SHAH ALAM: Kumpulan Aktivis Mahasiswa (Kami) mendakwa wujud pihak tertentu menyebarkan risalah lucah di sekitar Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Shah Alam sejak Khamis lalu.
Risalah tersebut memaparkan karikatur dua individu yang masing-masing dilabel sebagai Anwar dan Saifuddin dalam keadaan tidak senonoh.
Selain karikatur yang menjijikkan itu, terdapat juga tulisan berbunyi "Sibuk sangat nak baik dengan Pro M yang hina PM tu!".
Menurut Setiausaha Agungnya Khairul Naim, risalah itu dipercayai diedar pada Khamis dan Jumaat lalu oleh beberapa pihak tertentu yang kurang senang pihak yang memberi sokongan kepada Pro–Mahasiswa terhadap isu kebebasan akademik yang hangat diperkatakan sekarang.
"Kami tidak menuduh mana-mana pihak, tetapi tindakan menyebarkan risalah dan gambar ini adalah sesuatu yang melampau," katanya kepada Harakahdaily.
Menurutnya lagi, tindakan tersebut dipercayai ada kaitan dengan perhimpunan aman Pro-Aspirasi di perkarangan pejabat Kementerian Pengajian Tinggi baru-baru ini bagi mendesak Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah (gambar atas) meletakkan jawatan kerana memihak kepada Pro–Mahasiswa dalam penganjuran Perhimpunan Kebebasan Akademik di Kuala Lumpur.
"Kami berharap supaya Bahagian Hal Ehwal Pelajar dapat menyiasat kes ini sedalam-dalamnya kerana dilaporkan tiada sebarang tindakan terhadap kes yang berlaku ini.
"Dulu apabila Mahasiswa mengadakan speaker’s corner, kecoh satu kampus kerana Mahasiswa dikatakan menghuru-harakan kampus sehingga beberapa Mahasiswa ditahan oleh Polis Bantuan UiTM, tetapi mengapa apabila timbul kes ini pihak pentadbir mengambil pendirian berdiam diri?" katanya.
Sementara itu beliau berkata, pihaknya akan terus pertahankan Saifuddin walau apapun terjadi kerana yakin dengan perjuangannya.
Beliau juga menyifatkan tindakan Pro–Aspirasi yang berdemo sebagai “meludah ke langit” kerana suatu ketika dulu mereka mengatakan bahawa Mahasiswa berdemonstrasi adalah tidak intelektual. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.