NGO pendesak Melayu PERKASA hari ini membuat laporan polis berhubung isu penyebaran risalah dan laporan berita yang mengajak rakyat hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari.
Satu lagi laporan polis turut dibuat ke atas ketua Gereja National Evangelical Christian Fellowship (NECF) Paderi Dr Eu Hong Seng (foto) yang didakwa mempersoal Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan melalui satu kenyataan.
Laporan berkenaan, masing-masing dibuat oleh presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali dan timbalannya Datuk Abdul Rahman Bakar di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi kira-kira jam 2.30 petang ini.
Dalam laporan polis yang dibuat oleh Ibrahim, beliau mendakwa "terdapat cubaan satu golongan" menyebarkan risalah yang bertujuan untuk mengadakan perhimpunan di kawasan mahkamah berkenaan pada tarikh itu.
"(Ia) bagi tujuan mengganggu proses perjalanan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijadualkan (diputuskan) pada tarikh tersebut.
"Pada saya amat jelas cadangan perhimpunan itu menghina mahkamah dan tidak menghormati kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan negara serta boleh menimbulkan huru hara mengganggu keselamatan negara," laporan polis itu dipetik.
Sehubungan itu, Ibrahim yang juga ahli parlimen Pasir Mas berharap polis dapat menyiasat kumpulan yang bertanggungjawab itu dan mendesak polis menggunakan kuasa dengan tegas demi keselamatan rakyat dan negara.
Manakala dalam laporan polis yangg dibuat oleh Abdul Rahman, beliau mendakwa kenyataan Dr Eu merupakan "satu kenyataan menghasut" kerana fasal 153 tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana individu dan rakyat Malaysia.
"Sesiapa yang berbuat demikian boleh didakwa di bawah Akta Hasutan," katanya.
Beliau juga mendesak polis menyiasat paderi tersebut dan menggunakan kuasa undang-undang yang ada dengan tegas serta mendakwa paderi itu di bawah akta berkenaan.
Kedua-dua pemimpin PERKASA itu turut mengemukakan laporan berita yang berkaitan sewaktu membuat laporan polis itu.
Dalam sidang media selepas itu Abdul Rahman menyatakan kekecewaannya terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri Koh Tsu Koon yang didakwanya hadir sewaktu paderi menyampaikan ucapannya.
"Apakah Koh Tsu Koon tidak membuat sesuatu untuk membetulkan keadaan dengan apa yang telah diperkatakan. Kita kecewa dengan Koh Tsu Koon dan pihaknya yang membuat kenyataan yang tidak sepatutnya," katanya.
Beliau juga mempertikaikan kehadiran beberapa pemimpin PKR, termasuk ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Ibrahim pula mendakwa kenyataan paderi itu bermotifkan politik memandangkan pilihan raya umum ke-13 akan berlangsung bila-bila masa.
"Saya percaya ini motif politik untuk memesong kerajaan dan rakyat kononnya kerajaan yang ada sekarang ini tidak berlaku adil kepada lain-lain kaum di bawah (Perkara)153.
"Kenyataan ini boleh menjuruskan kemarahan lain-lain kaum marah kepada kerajaan, menolak Umno dan Barisan Nasional... Kenyataan ini tidak jujur dan merbahaya," kata Ibrahim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.