(Sebahagian penyokong PAS, PKR dan DAP yang memenuhi majlis makan malam anjuran Jabatan Pilihan Raya PAS Sarawak di Miri)
MIRI: Pakatan Rakyat Sarawak mensasarkan 10 kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum akan datang dan dua darinya dari daerah Miri sahaja.
Sasaran ini diluahkan dalam majlis penerangan PAS Pusat yang datang ke Sarawak minggu ini.
Melihat perkembangan dan sokongan yang semakin meningkat naik di kawasan parlimen Miri dan Sibuti, adalah tidak mustahil kedua dua Parlimen ini jatuh ketangan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya Parlimen yang dijadualkan tidak lama lagi.
Bersempena program penerangan PAS Pusat bersama Badan Perhubungan PAS Negeri Sarawak selama 2 hari bermula Rabu 28 Disember lalu, lebih 12 pimpinan PAS Pusat turun menjelajah setiap Parlimen yang menjadi sasaran bagi PAS Sarawak.
Di Bahagian Miri, yang terletaknya dua Parlimen, Miri dan Sibuti, Timbalan Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Nizar dan AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad telah mengetuai misi di sini.
Sebaik tiba di Miri pada petang Rabu lepas, satu majlis makan malam Pakatan Rakyat anjuran bersama Jabatan Pilihanraya PAS Kawasan Miri dan Sibuti dan Sekretariat Pakatan Rakyat Miri di Eastwood Valley, Jalan Miri-Bintulu diadakan.
Kehadiran mencecah 400 orang dengan hampir 40 buah meja terjual.
Pimpinan yang hadir termasuk, Naib Presiden DAP merangkap Ahli Parlimen Kuching, Chong Chien Jen dan Cikgu Badrul Shahrin atau lebih dikenali Chegu Bard.
Pimpinan tempatan termasuk YDP PAS Miri, Tuan Haji Jofri dan Alan Ling dan Fong dari DAP serta pimpinan PKR turut serta.
Dalam majlis itu menyaksikan pimpinan di semua peringkat telah menyatakan bahawasanya misi Pilihanraya ke 13 adalah pertentangan antara haq dan batil selain ketiga-tiga parti bersetuju untuk terus dalam muafakat politik bagi menumbangkan rejim Barisan Nasional.
Kegagalan Taib Mahmud untuk menunaikan janji untuk berundur bakal membangkitkan lagi sentimen anti Barisan Nasional, seterusnya melakar perubahan bersejarah dagi Pakatan Rakyat.
Dengan sasaran sekurang kurangnya 10 kerusi Parlimen dari sejumlah 31 Parlimen Sarawak, Pakatan Rakyat berkira kira Parlimen Miri dan Sibuti yang kini dipegang oleh Barisan Nasional bakal jatuh ketangan PR sekiranya sistem pilihanaraya tidak dicemari penipuan.
Ia bakal berjaya dengan syarat gerakerja sepakat dan kuat antara ketiga tiga parti komponen PR di Miri dan Sibuti ini, kata mereka.
Pada malam tersebut Dana PRU 13 telah dilancarkan dan Datuk Seri Nizar juga melancarkan Buku Negara Berkebajikan tawaran PAS yang mendapat sambutan menggalakkan dari para hadirin. (Nizar melancarkan buku Negara Berkebajikan yang diterbitkan PAS)
Program sebelah pagi dan petang Khamis yang diatur pula melibatkan pertemuan dengan pengundi dan program kebajikan di sekitar Pasar Tamu di Miri, Permyjaya dan Sibuti turut membuktikan pernerimaan PAS sebagai satu daripada elemen terpenting Pakatan Rakyat di Sarawak.
Walaupun program cuba dihalang pihak berkuasa dengan mengugut pengundi sekitar, namun semuanya berjalan lancar.
Pada malam sebelum keberangkatan pulang, kedua-dua pimpinan telah memberikan taujihat kepada semua petugas PAS Kawasan Miri dan Sibuti dalam memastikan kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya akan datang. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.