Isnin, 26 Disember 2011

NFC umpan PKR raih undi penduduk luar Bandar





KUALA LUMPUR — Skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC) terbukti menjadi bualan hangat dalam kalangan pengundi di kawasan pedalaman, jelas pemimpin PKR yang merancang menggunakan isu berkenaan untuk meraih undi pada pilihan raya akan datang.

The Malaysian Insider difahamkan Pakatan Rakyat, terutamanya PKR sedang giat menjalankan kempen prapilihanraya dan menggunakan skandal Datuk Seri Shahrizat dan keluarganya ini untuk meningkatkan sokongan pengundi kepada mereka.

“Kami sebenarnya beruntung, NFC muncul tepat pada masanya, sebelum ini kami sentiasa berusaha membuktikan contoh penyelewengan yang di lakukan Umno-Barisan Nasional.

“Tapi dengan isu ini, kami mempunyai peluang keemasan untuk meningkatkan sokongan terhadap kami, ... pada kami, kes Shahrizat ini merupakan contoh terbaik penyelewengan yang dilakukan pemimpin-pemimpin Umno .... rasuah, kronisma, dan politik wang,” kata Rafizi Ramli kepada The Malaysian Insider.

Pengarah Strategik PKR ini menjelaskan, “ujian” yang dijalankan pemimpin parti ketika sesi ceramah menunjukkan peningkatan untuk mengetengahkan skandal NFC, terutamanya pengundi luar bandar.

“Di Kemaman contohnya, kadangkala saya tidak menyebut berkenaan isu NFC ini, penduduk kecewa. Penduduk kampung terutamanya masyarakat luar bandar lebih berminat untuk memperkatakan tentang isu ini,” katanya.

“Ia merupakan isu yang berkaitan dengan mereka, isu kapal selam sedikikt membingungkan, tapi dengan NFC-ia melibatkan lembu-berapa banyak modal untuk menternak lembu dan bagaimana keuntungan dibuat dengan menternak lembu.

“Setiap kali kami menyebut jumlah itu, masyarakat menjadi marah,” katanya.

Tambahnya lagi, PKR turut memastikan kronologi skandal tersebut akan di ‘ hargai’ dan difahami oleh maysrakat melalui edaran phamphlete dan poster.

PKR mula menyiasat berkenaan isu terbabit selepas Laporan Ketua Audit Negara 2010 menjelaskan terdapat penyelewengan sejumlah RM250 juta dana untuk penternakan lembu kebangsaan.

Sejak itu, parti berkenaan telah membuat beberapa siri pendedahan berkaitan skandal terbabit termasuk pembelian dua kondominium mewah oleh NFC di Bangsar, termasuk dana projek itu turut dikatakan membiayai percutian Shahrizat dan keluarganya di luar negara.

Turut dikaitkan dengan penyelewengan berkenaan adalah terdapatnya perpindahan wang yang tidak berkenaan terhadap sebuah syarikat di Singapura, termasuk pembelian Mercedes-Benz CLS350 yang berjumlah RM534,622, dan juga pembelian dua lot tanah di Putrajaya di Presint 10 bernilai RM3,363,507.

Pendedahan terbaru yang dibuat PKR adalah pada Selasa lalu, mengaitkan sejumlah RM10 juta digunakan untuk membeli kondominium mewah di Singapura untuk keluarga Shahrizat.

Shahrizat cuba untuk menepis dakwaan terlibat dengan skandal terbabit dengan mengatakan beliau “hanyalah isteri” kepada pengerusi projek penternakan lembu berkenaan dan menyatakan skandal berkaitan tiada kaitan dengan dirinya.

Ketua Wanita Umno ini turut dituntut untuk meletak jawatan sebagai menteri termasuk partinya sendiri, dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas beberapa siri serangan daripada pembangkang untuk projek yang “dianugerahkan” kepada suami dan tiga anaknya yang merupakan pengarah dalam NFC.

Perkembangan terbaru skandal ini ialah polis telah menahan seorang lelaki Khamis lalu yang dikatakan cuba untuk merasuah pegawai atasan yang menyiasat kes berprofil tinggi itu dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan ia berkaitan dengan skandal NFC.

Mahkamah Majistrate membenarkan polis mereman lelaki berusia 45 tahun itu.

Menurut SPRM, lelaki berkenaan kini sedang disiasat oleh badan berkenaan kerana dikatakan mempunyai kaitan dengan skandal NFC.

SPRM turut merampas komputer dan beberapa dokumen dalam serbuan ke atas pejabat NFC Jumaat lalu.

Difahamkan suspek merupakan ketua untuk sebuah firma perundingan dan menjalankan perniagaan teksi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Syed Ismail Syed Azizan enggan mendedahkan dan mengesahkan suspek yang sedang disoal siasat itu terlibat dengan NFC.

Beliau juga enggan memberikan penjelasan sama ada lelaki itu terlibat dengan Pengerusi NFC Datuk Seri Mohamed Salleh Ismail, yang juga suami Shahrizat.

Kelmarin, NFC mengeluarkan kenyataan dan menafikan lelaki terbabit terlibat dengan keluarga atau pernah bekerja dengan NFC. Syarikat berkenaan sebelum itu menolak dakwaan SPRM menyerbu premis mereka, sebaliknya menurut mereka, syarikat bekerjasama secara rasmi dengan SPRM semasa lawatan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.