Khamis, 1 Disember 2011

Najib beri bayangan PRU-13 tak lama lagi


MALAYSIA KINI

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini sekali lagi memberi bayangan bahawa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan diadakan tidak lama lagi.

Najib, yang juga presiden Umno dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung Umno 2011 di sini, mengingatkan semua anggota parti supaya "merapatkan saf, menyalakan jamung dan menggigit sekuatnya perjuangan dengan geraham kita" bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Palulah genderang perang, palulah ia tabuh-tabuhan dan tiupkanlah semboyan. Masanya sudah hampir, waktunya sudah tiba.

"Bingkaslah orang-orang Umno, kita turun ke medan bakti," katanya sambil melaungkan Hidup Umno yang disambut gemuruh 2,711 perwakilan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Najib dalam amanatnya kepada perwakilan pada Selasa lalu mahu pimpinan parti di peringkat bahagian dan akar umbi bekerja secara luar biasa bagi menghadapi PRU-13 akan datang.

Perdana Menteri juga berpesan supaya para wakil bahagian parti jangan mengambil mudah PRU-13 kerana cabarannya pasti luar biasa dan yang paling getir bakal dihadapi oleh parti politik terbesar negara itu.- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.