Khamis, 29 Disember 2011

Mana suara mufti zakat biayai guaman menteri

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) meminta para ulama dan Mufti di negara ini bersuara dengan memberikan pandangan terhadap isu penggunaan duit zakat untuk tujuan membayar kos guaman Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Timbalan Ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata pandangan segera para ulama dan Mufti penting bagi mengelakkan timbulnya pelbagai persepsi negatif dari umat Islam di negara ini terhadap institusi zakat dan pemimpin yang berkuasa menjaga institusi tersebut.

Katanya, isu sama ada duit tersebut telah dikembalikan tidak timbul kerana persoalan pokok yang perlu dijawab adalah bolehkah duit zakat digunakan untuk kepentingan peribadi pemimpin.

"Sebagai pemimpin yang berkuasa dalam urusan hal ehwal umat Islam di negara ini, sepatutnya beliau memegang amanah ini sebaiknya.

"Wang zakat perlu diuruskan dengan betul dan disalurkan ke tempat yang sewajarnya. Wang zakat tidak boleh sewenang-wenangnya dikeluarkan selain dari urusan yang selayaknya," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya, tindakan Datuk Seri Jamil Khir mengeluarkan wang zakat bagi membiayai kos guaman beliau dan orang bawahannya amat dikesali seluruh umat Islam yang membayar zakat di negara ini, khususnya di Wilayah Persekutuan.

Tindakan tersebut ujarnya, boleh menimbulkan prejudis dikalangan umat Islam dengan persoalan adakah wang zakat disalurkan ke tempat yang sepatutnya ataupun ianya digunakan untuk tujuan-tujuan tertentu.

"DPPWP mengharapkan agar para ulama dan Mufti di negara ini bersuara dengan menyatakan pandangan mereka.

"Sekiranya tindakan ini salah dan melanggari syariat Islam, teguran secara terbuka perlu dibuat terhadap Datuk Seri Jamil Khir dengan ingatan dan amaran keras," ujarnya lagi.

Tambahnya lagi, kemungkaran yang dilakukan perlu dicegah terutama melibatkan pemimpin besar negara kerana mereka perlu menunjukkan contoh teladan yang baik kepada masyarakat.

Selain itu, Datuk Seri Jamil Khir juga jelasnya perlu memohon maaf atas tindakan beliau dan menyerahkan kepada pihak polis atau yang berkaitan untuk menyiasat dan mengambil tindakan lanjut.

"Beliau perlu bersedia menghadapi sebarang tindakan dan hukuman jika terbukti jelas telah melakukan kesalahan," tegasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.