Khamis, 29 Disember 2011

Gaji kurang RM5,000 dapat caruman baharu

MALAYSIA CHRONICLE


KUALA LUMPUR- Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang menerima gaji bulanan sehingga RM5,000 akan menerima rangsangan dalam simpanan persaraan mereka apabila kadar carumanan berkanun bahagian majikan dinaikkan kepada 13 peratus berkuatkuasa Januari 2012.

Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar berkata kenaikan satu peratus daripada kadar semasa 12 peratus akan memberikan faedah kepada 5.3 juta rakyat Malaysia yang bekerja, 92 peratus daripadanya adalah ahli aktif KWSP.

Bagaimanapun, caruman pekerja kekal pada kadar 11 peratus, katanya dalam kenyataan Selasa.

Pekerja berumur 55 tahun dan ke atas yang menerima gaji tidak melebihi RM5,000 juga akan menikmati manfaat ini apabila majikan mereka diwajibkan mencarum 6.5 peratus atau tambahan 0.5 peratus daripada kadar semasa 6 peratus manakala pekerja terus mencarum pada kadar 5.5 peratus.

"Perdana Menteri dan Menteri Kewangan YAB Dato' Sri Najib Tun Abdul Razak mengumumkan kenaikan caruman majikan untuk pekerja dalam kumpulan pendapatan ini semasa Ucapan Bajet 2012 sebagai langkah untuk menangani masalah ketidakcukupan pendapatan semasa bersara yang dihadapi pesara kini," katanya.

Kajian sebelum ini menunjukkan 70 peratus pesara akan menghabiskan simpanan mereka dalam tempoh 10 tahun dari mula mereka bersara dan masalah ini akan bertambah serius kerana kadar inflasi semakin meningkat dan bertambahnya jangka hayat rakyat Malaysia.

Sehubungan itu, katanya KWSP menghargai tindakan segera kerajaan dalam menangani masalah ini kerana tambahan satu peratus caruman berserta dengan dividen tahunan akan meningkatkan lagi simpanan persaraan rakyat Malaysia. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.